- Iklan -
Berita

Usul undi percaya terhadap PM diluluskan di Dewan Rakyat

Kelulusan usul tersebut akan menjelaskan dukungan yang diperolehi Anwar Ibrahim selepas membentuk kerajaan gabungan selepas PRU15.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim melambaikan tangan di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim melambaikan tangan di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini diluluskan di Dewan Rakyat, memenangi sokongan penting bagi kerajaan diterajuinya selepas pilihan raya umum bulan lalu menyebabkan Parlimen tergantung.

Usul undi percaya dikemukakan di Parlimen bagi membuktikan majoriti sokongan terhadap Anwar, selepas keraguan dibangkitkan oleh pembangkang mengenai keabsahan sokongan yang diperolehi perdana menteri itu.

Usul tersebut itu diluluskan melalui undian suara di mana ahli Parlimen menyuarakan sokongan mereka selepas perbahasan dijalankan.

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 November lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Anwar, 75, yang turut memegang jawatan menteri kewangan, mengambil langkah untuk mengukuhkan sokongannya minggu lalu dengan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara parti politik yang membentuk kerajaan. 

Anwar yang menjadi pemimpin pembangkang lebih dua dekad sebelum ini beberapa kali dinafikan jawatan perdana menteri walaupun Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum pada 2018.

Beliau pernah dipenjarakan kerana kes liwat dan rasuah yang didakwa sebagai tuduhan bermotif politik.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 bulan lalu, PH gagal mendapat majoriti mudah.

Bagaimanapun, beliau akhirnya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan membentuk kerajaan campuran dengan bantuan blok politik lain termasuk gabungan musuh politiknya sebelum ini, iaitu Barisan Nasional.