- Iklan -
Berita

Tengkujuh dijangka berterusan hingga 24 Disember

Pusat Kawalan Operasi Bencana yang diselaraskan oleh Nadma mula diaktifkan sejak pagi semalam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai meredah air banjir di Kampung Kubang Kual, Rantau Panjang, Pasir Mas pada 18 Disember. Gambar: Bernama
Orang ramai meredah air banjir di Kampung Kubang Kual, Rantau Panjang, Pasir Mas pada 18 Disember. Gambar: Bernama

Luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berlarutan hingga 24 Disember ini dan berpotensi membawa angin kencang, ombak besar serta hujan berterusan di negeri-negeri utara, timur semenanjung dan timur Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali berkata laporan daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang diterima oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) petang semalam memaklumkan, keadaan itu juga akan menyebabkan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

“Berikutan itu MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor hingga 21 Disember, manakala amaran angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan hingga 22 Disember,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Armizan berkata Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diselaraskan oleh Nadma mula diaktifkan sejak pagi tadi.

Justeru, katanya semua PKOB negeri telah diminta memaklumkan kepada PKOB pusat berhubung sebarang keperluan dan isu yang memerlukan intervensi segera bagi memastikan pengurusan tindak balas berjalan lancar.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), sehingga 8.40 malam tadi jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 10,347 orang daripada 3,081 keluarga.

Mereka ditempatkan di 149 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri iaitu 58 PPS di Kelantan, Johor (tiga), Terengganu (84), Perak (dua), dan masing-masing satu di Sarawak serta Pahang.

Pada masa sama, Armizan berkata sehingga 2 petang tadi 51 lokasi banjir turut mengalami kejadian cerun atau jalan runtuh dan mendap serta kerosakkan jambatan.

Menurutnya kejadian itu melibatkan 18 daerah di Terengganu; Kelantan (16); masing-masing empat daerah di Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang; Johor (tiga) dan masing-masing satu di Perak dan Selangor dengan membabitkan 18 jalan Persekutuan dan 33 jalan negeri.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk terutamanya di kawasan yang dilanda banjir berwaspada dan sentiasa peka arahan pihak berkuasa.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web http://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir serta aplikasi myCuaca di Google Play serta App Store untuk maklumat cuaca terkini daripada MetMalaysia.