- Iklan -
Berita

Majlis Peguam persoal klausa kontroversi dalam MoU kerajaan

Majlis Peguam berkata Klausa 4 dalam perjanjian persefahaman tersebut 'secara jelas bercanggah’ rang undang-undang anti lompat parti yang menyekat ahli Parlimen daripada bertukar kem.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) bercakap selepas pemeteraian MoU parti-parti yang membentuk kerajaan di Putrajaya pada 16 Disember. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) bercakap selepas pemeteraian MoU parti-parti yang membentuk kerajaan di Putrajaya pada 16 Disember. Gambar: Bernama

Majlis Peguam Malaysia hari ini menyatakan kebimbangan terhadap klausa yang dimasukkan dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh parti-parti yang membentuk kerajaan baru-baru ini, mengatakan ia "secara jelas bercanggah” dengan rang undang-undang anti lompat parti bagi menghalang ahli Parlimen daripada bertukar kem.

Merujuk kepada Klausa 4 dalam MoU tersebut, Majlis Peguam berkata ia dibuat berdasarkan perlembagaan parti yang menandatangani MoU dan juga parti yang menjalankan kuasa whip dan/atau mengambil tindakan tatatertib dalaman sekiranya ahli partinya tidak mengundi usul yang dikemukakan.

"Di sinilah punca masalah," katanya. 

"Peruntukan yang dianggap berkait dengan 'peletakan jawatan' atau mungkin 'penyingkiran' sekiranya ahli Parlimen tidak mengundi memihak kepada usul undi percaya.”

MoU yang ditandatangani pada 16 Disember tersebut antara lain menyatakan semua parti kerajaan mesti menyokong perdana menteri dalam usul undi percaya atau rang undang-undang perbekalan dan mana-mana prosedur lain Parlimen lain yang boleh menjejaskan kesinambungan kerajaan.

Ia juga berkata parti yang menandatangani MoU bertanggungjawab memastikan ahli Parlimen mereka mengundi, selain turut menambah ahli Parlimen yang mengundi selain daripada keputusan parti akan dianggap sebagai hilang kelayakan, dan kerusi mereka akan dikosongkan.

Pemeteraian MoU itu dibuat kira-kira tiga minggu selepas Anwar Ibrahim dinamakan sebagai perdana menteri, berikutan kemelut politik yang memakan masa beberapa hari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di mana tiada gabungan utama memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Dalam kenyataannya hari ini, Majlis Peguam berkata MoU itu kelihatan seperti "hibrid" antara perjanjian keyakinan dan pembekalan bersama perjanjian antara gabungan politik.

"Perjanjian keyakinan dan pembekalan ialah apabila kerajaan minoriti dibentuk dan parti politik lain membentuk sebuah persefahaman dengan parti yang dipilih untuk mentadbir negara, di mana terdapat jaminan sokongan kepercayaan kepada kerajaan terhadap usul yang berkaitan dengan usul-usul penting seperti undi kepercayaan dan usul belanjawan, sebagai tukaran kepada dasar-dasar lain yang didesak oleh parti politik yang menyertainya.

“Memandangkan MoU ketika ini terdiri daripada parti-parti politik yang tidak mempunyai sebuah gabungan berdaftar yang kukuh, maka MoU itu gagal mencapai perjanjian gabungan rasmi secara sepenuhnya bagi meneliti pelan lima tahun dasar bersama.

"Dari perspektif perundangan dalam situasi yang dihadapi oleh demokrasi politik yang semakin berkembang di negara kita, nilai-nilai seperti kesetiaan, muhibah dan kestabilan politik boleh dicapai tanpa menjejaskan pematuhan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang — iaitu pematuhan kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan," katanya merujuk kepada akta anti lompat parti yang menghalang ahli Parlimen bertukar parti.

Perkara 49A antara lain menyebut bahawa seseorang ahli Parlimen akan kekal sebagai ahli Dewan Rakyat sekiranya beliau dipecat daripada partinya.