- Iklan -
Berita

Jangan samakan MoU Anwar dengan Ismail, ahli Parlimen PN selar Fahmi

Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin berkata perbuatan menyamakan MoU kerajaan Anwar dengan apa yang pernah dimeterai antara bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan adalah ‘tidak berasas’.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Padang Serai dari Bersatu Azman Nasrudin hari ini membidas Fahmi Fadzil, menolak kenyataannya yang menyamakan perjanjian persefahaman (MoU) parti-parti kerajaan dengan yang dibuat bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH), menyifatkannya sebagai propaganda “tidak berasas” dan terdesak menteri komunikasi dan digital itu.

Azman berkata kenyataan tersebut satu tindakan politik murahan yang palsu bagi mengelirukan rakyat di samping menyifatkan persamaan tersebut sebagai “tidak rasional”.

“Pertamanya, dalam perjanjian Ismail Sabri-PH tidak wujud peruntukan yang memaksa ahli Parlimen untuk menyokong PM atau usul-usul lain berkaitan keabsahan kerajaan, seperti yang terdapat dalam MoU haram tersebut.

“Jika gagal menyokong, ahli Parlimen parti kerajaan akan hilang kerusi parlimen menurut Klausa 4 MoU tersebut. 

“Tidak ada apa-apa peruntukkan seperti Klausa  4 dalam perjanjian Ismail Sabri-PH, langsung tidak ada paksaan seperti itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Azman berkata Perikatan Nasional (PN) tidak pernah mempertikaikan hak parti kerajaan untuk melakukan sebarang MoU.

Bagaimanapun, bantahan dan penolakan yang dibuat adalah berhubung “percubaan untuk membawa pemerintahan diktator” dengan memaksa ahli Parlimen untuk menyokong semua usul kerajaan di Dewan Rakyat.

Pada 16 Disember, Anwar mengetuai pemimpin PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan menandatangani MoU yang dimeterai bagi memastikan kerajaan campurannya kekal berkuasa, di mana ia turut memasukkan klausa kontroversi mengatakan mana-mana ahli Parlimen daripada parti yang tidak menyokong usul kerajaan akan dianggap hilang kelayakan dan kerusi mereka akan dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya kecil diadakan.

MoU yang dimeterai menjelang usul undi percaya terhadap Anwar yang dibentangkan semalam, turut menyatakan setiap parti bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen mereka yang mengundi bercanggah dengan keputusan parti.

MoU tersebut mencetuskan pertikaian dari pelbagai pihak termasuk Majlis Peguam Malaysia yang mengatakan ia “secara jelas bercanggah” dengan akta anti lompat parti yang digubal dalam Perlembagaan negara.

“Memandangkan MoU ketika ini terdiri daripada parti-parti politik yang tidak mempunyai sebuah gabungan berdaftar yang kukuh, maka MoU itu gagal mencapai perjanjian gabungan rasmi secara sepenuhnya bagi meneliti pelan lima tahun dasar bersama.” 

Dalam pada itu, Azman mempersoalkan retorik PH mengenai demokrasi apabila wujud unsur paksaan dan ugutan ke atas ahli-ahli Dewan Rakyat dengan menggunakan akta tersebut bagi menjustifikasi MoU tersebut.

“Di mana demokrasi negara apabila ada paksaan dan ugutan ke atas ahli-ahli Dewan Rakyat? 

“Fasal 49A Perlembagaan yang sering dipetik oleh PH untuk memutihkan MoU haram mereka, hanya berkaitan lompat parti. Ia bukan memaksa ahli parlimen menyokong kerajaan atau mana-mana usul,” katanya, memetik Perkara 49A yang jelas menyebut seseorang ahli Parlimen akan kekal sebagai ahli Dewan Rakyat sekiranya beliau dipecat daripada partinya.