- Iklan -
Berita

Pencalonan Radzi sebagai speaker punca MoU kontroversi bagi memastikan ahli Parlimen patuh semua usul kerajaan?

Sekumpulan ahli Parlimen Umno yang mengangkat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri bimbang undi pertama dalam sidang Parlimen esok akan memberikan gambaran buruk kepada kerajaan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Veteran Umno dan bekas menteri dalam negeri Radzi Sheikh Ahmad (kiri) dan bekas ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul.
Veteran Umno dan bekas menteri dalam negeri Radzi Sheikh Ahmad (kiri) dan bekas ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul.

Tindakan Perikatan Nasional (PN) untuk mencalonkan ahli politik veteran yang dihormati dalam kalangan Barisan Nasional (BN) sebagai speaker Dewan Rakyat membingungkan penyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dari Umno, menjadi punca memorandum persefahaman (MoU) kontroversi yang mengikat ahli Parlimen parti-parti gabungan kerajaan dimeterai baru-baru ini, MalaysiaNow difahamkan.

Sumber rapat dalam barisan kepimpinan Umno Perak berkata, pilihan PN untuk mengangkat Radzi Sheikh Ahmad, 80, ahli politik veteran yang terlatih dalam undang-undang dan pernah berkhidmat dengan memegang pelbagai jawatan penting kerajaan termasuk menteri dalam negeri dan undang-undang, dilihat lebih layak berbanding calon Pakatan Harapan (PH), bekas ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul.

"Radzi sangat dihormati dalam kalangan Umno kerana pengetahuannya dalam hal ehwal perundangan, jadi ramai dalam kalangan kami merasakan pemilihan Johari berbanding beliau bukan sahaja bermakna menyerahkan segala-galanya kepada Anwar, bahkan ia menunjukkan rasa tidak hormat kepada beliau,” kata seorang bekas ahli Parlimen Umno.

Pemilihan speaker baru bagi menggantikan Azhar Azizan Harun adalah antara agenda pertama esok apabila Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama selepas pilihan raya umum pada 19 November lalu, di mana ia mencetuskan kemelut politik berikutan Parlimen yang tergantung sehingga menyebabkan istana memberikan lebih banyak ruang untuk gabungan-gabungan politik berunding.

Sebelum ini, ahli Parlimen diberi kebebasan untuk mengundi dalam pemilihan speaker Dewan Rakyat.

"Namun, kali ini, adalah penting bagi Anwar menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan padu semua ahli Parlimen daripada pelbagai gabungan dalam kerajaannya. Jadi, dirasakan langkah mencalonkan Radzi mungkin menghalang perkara itu daripada berlaku," kata sumber dari Umno Perak itu.

Pada Jumaat, Anwar mengetuai pemimpin Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan menandatangani MoU yang dimeterai bagi memastikan kerajaan campurannya kekal berkuasa, di mana ia turut memasukkan klausa kontroversi mengatakan mana-mana ahli Parlimen daripada parti yang tidak menyokong usul kerajaan akan dianggap hilang kelayakan dan kerusi mereka akan dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya kecil diadakan.

Klausa itu mengundang kritikan hebat kerana dilihat merampas hak ahli Parlimen untuk mengundi mengikut naluri, selain kebimbangan ia akan melanggar akta anti lompat yang jelas menyatakan ahli Parlimen tidak akan kehilangan kerusinya jika dipecat daripada parti. 

"Kami mahu ahli Parlimen menyokong setiap usul termasuk pemilihan Johari sebagai speaker, bukan hanya undi percaya. Ini juga sebabnya Johari tidak boleh ambil risiko letak jawatan sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah sehingga MoU ditandatangani," kata sumber PKR Kedah.

Di bawah Perlembagaan, seorang Adun tidak boleh dilantik menjadi speaker Dewan Rakyat.

Hanya dua hari selepas MoU itu ditandatangani, Johari  mengumumkan beliau meletakkan jawatan sebagai Adun Gurun, bagi membolehkan beliau dicalonkan sebagai speaker.

Seakan undi percaya

Pemilihan speaker sentiasa menjadi tumpuan kerana ia sering dilihat sebagai undi percaya kepada kerajaan, walaupun ia tidak semestinya menjejaskan kedudukan perdana menteri.

Lima bulan selepas kejatuhan pentadbiran PH pada 2020, Speaker Mohamad Ariff Md Yusof disingkirkan daripada jawatannya dengan majoriti undian sebanyak 111 berbanding 109 berikutan usul kerajaan PN, yang kemudiannya ditafsirkan sebagai tahap sokongan terhadap kerajaan di Dewan Rakyat.

Kali ini, tahap sokongan kepada kerajaan akan ditentukan sejurus selepas pemilihan speaker baru, dalam bentuk usul undi percaya terhadap perdana menteri yang akan dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

“Bagaimanapun, ketika ahli Parlimen daripada parti-parti kerajaan dijangka akan menyokong beliau supaya kerajaan baru tidak terganggu, terdapat tanda-tanda ahli Parlimen terutama dari Umno dan GPS yang mempunyai keraguan yang kuat bagi membiarkan seorang pemimpin PKR menjadi speaker.

"Jadi, wujud kebimbangan dalam kem PH, dan mereka yang bersekutu dengan Ahmad Zahid Hamidi, bahawa undi pertama di Dewan Rakyat akan berakhir dengan memberi gambaran buruk kepada kerajaan," tambah sumber Umno itu.

Dalam pada itu, sumber PKR berkata, Johari yang merupakan  sekutu rapat Anwar, sudah lama dirancang untuk memegang jawatan speaker tersebut sejak PH memenangi Putrajaya pertama kali berikutan kemenangan gabungan itu pada 2018 di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

"Tetapi Anwar dan PKR melakukan kesilapan kerana gagal memastikan Johari meletakkan jawatannya di peringkat DUN. Akibatnya, Mahathir mengenepikan pilihan speaker yang asalnya diperuntukkan kepada PKR dan seterusnya melantik bekas hakim Ariff yang jauh lebih berkelayakan," tambah sumber itu.

Sumber itu turut menambah pelantikan Johari ke jawatan itu akan dilihat sebagai isyarat peribadi Anwar "untuk berterima kasih atas kesetiaannya".

Sumber merujuk usaha Johari membela presiden PKR itu ketika kemuncak dakwaan video seks pada 2011.

Johari menolak dakwaan individu yang dipaparkan dalam video tersebut adalah Anwar, dan menuduh Umno melakukan konspirasi dengan penyebaran video tersebut.

Tiga individu termasuk bekas ketua menteri Melaka Abdul Rahim Thamby Chik kemudiannya didakwa dan disabitkan kesalahan menyiarkan video pornografi kepada orang awam.