- Iklan -
Berita

Najib sendiri serah cek RM1 juta kepada Shahrir, kata pegawai SPRM

Penolong Penguasa SPRM Nurzahidah Yacop berkata bekas perdana menteri itu juga yang menulis dan menandatangani cek sebelum menyerahkan kepada Shahrir di Pejabat Perdana Menteri pada 2013.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa hasil siasatannya mendapati Najib Razak menyerahkan sendiri cek bernilai RM1 juta kepada Shahrir Samad pada 2013.

Penolong Penguasa SPRM Nurzahidah Yacop, 35, berkata bekas perdana menteri itu juga yang menulis dan menandatangani cek AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum menyerahkan kepada Shahrir di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 27 November 2013.

Nurzahidah berkata sehari kemudian, terdapat transaksi wang masuk sebanyak RM1 juta ke dalam akaun Public Bank Berhad milik Shahrir dan ada beberapa transaksi pengeluaran berjumlah RM997,285 selepas itu antara 2 Disember 2013 hingga 31 Mac 2014.

“Daripada keseluruhan transaksi pengeluaran itu, sebanyak RM543,800 digunakan bagi melaksanakan Projek Pemulihan Perumahan Puri Langkasuka (Seri Anugerah) Larkin, Johor Bahru manakala RM10,000 untuk Umno Cawangan Taman Kebuh Teh.

“Selain itu, sebanyak RM443,485 dipercayai digunakan untuk tujuan peribadi beliau (Shahrir) antaranya RM200,000 dimasukkan ke akaun simpanan tetap Public Bank milik isterinya Shahrizan Abdullah dan anaknya Marisa Diyana, sebanyak RM115,000 dimasukkan ke akaun simpanan tetap Maybank Shahrir dan RM118,485 ke akaun Sutera Auto Sdn Bhd (syarikat kereta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada 8 Ogos lepas, saksi pendakwaan ketujuh, Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn Bhd Rozana Khalid memberitahu mahkamah bahawa Shahrir telah membuat pembayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek.

Nurzahidah yang bekerja di Cawangan Sasaran Operasi (OTC) Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya berkata hasil siasatan juga mendapati Shahrir tidak pernah membuat pengisytiharan berkenaan penerimaan dana tersebut, walaupun ia dikira sebagai pendapatan beliau (Shahrir).

Katanya, ini disahkan melalui maklumat percukaian milik Shahrir bagi 2013 hingga 2018 yang tiada sebarang pengisytiharan pendapatan melebihi RM1 juta dalam Borang BE yang menyatakan bekas pengerusi Felda itu mengisytiharkan pendapatan pada 2013 (RM87,834), 2014 (RM128,104), 2015 (RM213,394), 2016 (RM189,545), 2017 (RM267,090) dan 2018 (RM193,191).

Mengenai taklimat operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Fasa 2, Nurzahidah berkata beliau menghadiri taklimat itu yang dipengerusikan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Ibu Pejabat SPRM pada 23 September 2019 dan beliau (Nurzahidah) menerima arahan untuk menjadi pegawai penyiasat kes.

“Pada keesokannya (24 September) saya menerima kertas siasatan daripada pegawai rekod cawangan sasaran operasi mengenai kes tersebut.

"Berdasarkan fakta dan keterangan yang diperoleh serta dokumen yang dirampas dalam tempoh siasatan, saya telah mengemukakan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya SPRM dengan cadangan menuduh Shahrir kerana tidak mengisytiharkan dana yang diterima sebanyak RM1 juta,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata Shahrir ditangkap pada 20 Jan 2020 dan didakwa dengan satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, pada 21 Januari 2020.

Shahrir, 72, didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur, pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.