- Iklan -
Berita

Apa nasib Ismail Sabri pasca PRU15?

Walaupun bekas perdana menteri itu mungkin masih relevan dalam Umno, namun beliau mungkin tidak mampu untuk kembali untuk kembali menjadi pemain utama dalam politik negara, kata penganalisis.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob melambaikan tangannya kepada penyokong dalam sebuah program di Bera, Pahang ketika PRU15 November lalu. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob melambaikan tangannya kepada penyokong dalam sebuah program di Bera, Pahang ketika PRU15 November lalu. Gambar: Bernama

Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob tidak mungkin mampu membuat “comeback” sebagai pemain utama landskap politik negara selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. 

Penganalisis politik daripada Singapore Institute of International Affairs, Oh Ei Sun berkata, ini kerana ahli Parlimen Bera itu tidak mempunyai sokongan yang kuat di peringkat akar umbi.

"Jika beliau seorang yang berkarisma atau mempunyai sokongan akar umbi yang kuat, dia mungkin boleh membuat comeback politik. 

“Tetapi itu bukan realitinya," katanya kepada MalaysiaNow. 

Naib presiden Umno itu mencatatkan sejarah sebagai ketua pembangkang pertama daripada parti itu dalam Parlimen, selain menjadi perdana menteri pertama yang tidak memegang jawatan presiden.

Ismail menggantikan Muhyiddin Yassin pada 2021 selepas kluster mahkamah yang diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan, sekali gus memaksa ahli Parlimen Pagoh itu meletak jawatan. 

Ismail yang membawa gagasan Keluarga Malaysia ketika berkuasa, menjadi perdana menteri paling singkat berkhidmat dalam sejarah dengan hanya 14 bulan tempoh pentadbiran berbanding 16 bulan tempoh pentadbiran Muhyiddin dan 22 bulan pentadbiran kali kedua Dr Mahathir Mohamad. 

Beliau digantikan dengan Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan gabungan dengan parti-parti lain. 

Pentadbiran Ismail berdepan cabaran getir menguruskan banjir yang melanda Lembah Klang pada penghujung 2021. 

Selain itu, negara menyaksikan peningkatan kadar inflasi dan harga bahan makanan yang melampau susulan peperangan antara Rusia dan Ukraine ketika pentadbiran beliau.

Bagi penganalisis politik daripada Universiti Islam Antarabangsa, Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, bekas perdana menteri itu memerlukan strategi politik baru.

"Beliau masih relevan dalam Umno dan berusaha untuk bertanding pemilihan Umno akan datang. Seperti Hishammuddin Hussein, beliau mesti 'move on' untuk survival politik.

"Sebagai mantan perdana menteri, beliau masih ada sokongan akar umbi untuk bertanding naib presiden atau presiden," katanya. 

Menurut Nik Ahmad Kamal, tiada risiko besar sekiranya Ismail berdepan dengan Zahid dalam berentap jawatan presiden Umno.

"Tiada sebab beliau mendiamkan diri dan tidak ambil bahagian. Alternatifnya tidak bertanding dan sejukkan suhu. Itu pun satu strategi juga," katanya.

Pemilihan parti itu dijangka diadakan selewat-lewatnya enam bulan selepas PRU15 setelah ditangguhkan sebelum ini. 

Pemilihan sebelum ini menyaksikan Zahid menggalas tanggungjawab sebagai presiden Umno setelah Najib Razak meletakkan jawatan susulan kekalahan BN pada PRU14.

Ahli Parlimen Rembau Mohamad Hasan menang timbalan presiden manakala Ismail Sabri bersama sama Mahdzir Khalid dan Mohamed Khaled Nordin menjadi naib presiden Umno. 

Namun bagi Oh, karier politik Ismail sebaiknya dinokhtahkan pada PRU15. 

"Beliau boleh menikmati hidup yang selesa sebagai bekas perdana menteri. 

“Agak memalukan jika kalah teruk dengan Zahid dalam pemilihan parti," tambahnya.