- Iklan -
Berita

Mahkamah lepas, bebaskan Azeez dalam kes rasuah, gubah wang haram

Permohonan beliau untuk mengubah perintah Mahkamah Sesyen September lalu kepada pembebasan penuh dibenarkan pesuruhjaya kehakiman.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Rahim di Mahkamah Rayuan September lalu. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Rahim di Mahkamah Rayuan September lalu. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim bagi tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Pada 23 September lalu, beliau  dilepas tanpa dibebaskan oleh hakim Mahkamah Sesyen selepas pendakwaan memohon beliau dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah atas alasan representasi tertuduh dipertimbangkan dan memerlukan siasatan lanjut.

Bagaimanapun, pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid hari ini membenarkan permohonan Azeez untuk mengubah perintah Mahkamah Sesyen (DNAA) kepada pembebasan penuh, selepas timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim tidak mengemukakan sebarang bantahan.

“Tertuduh kini dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Azeez, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM972,414.60 berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah. 

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di lima bank di ibu negara antara 6 September 2010 dan 10 April 2018.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.