- Iklan -
Berita

'Persoalan dana asing lebih mustahak', PAS kecam PH

PAS berkata isu dana asing yang diterima PH dan diakui sendiri oleh badan International Republican Institute lebih merbahaya kerana mendedahkan kedaulatan negara kepada kepentingan asing.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ulama PAS menggesa Pakatan Harapan menjawab persoalan dana asing yang didakwa telah diterima parti itu sejak 2002.
Ulama PAS menggesa Pakatan Harapan menjawab persoalan dana asing yang didakwa telah diterima parti itu sejak 2002.

Dewan Ulama PAS hari ini membidas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang membayangkan kononnya Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian, membangkitkan persoalan “paling mustahak” dana asing yang diterima oleh Pakatan Harapan (PH).

Dalam sebuah kenyataan, Ketua Ulama PAS Ahmad Yahya menyifatkan isu dana asing lebih mustahak untuk disiasat kerana melibatkan kedaulatan negara.

“Persoalan paling mustahak di sini adalah penerimaan dana asing oleh PH yang telah mencetuskan kebimbangan ramai sebelum daripada ini. Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining pasca PRU14 yang lalu.

“Dakwaan ini lebih berbahaya kerana mendedahkan kedaulatan negara kepada kepentingan asing. Ironinya masih tiada siasatan mahupun jawapan yang tuntas terhadapnya.” katanya.

Dalam pada itu Ahmad menegaskan dakwaan yang mengatakan dana pilihan raya PN daripada syarikat judi adalah dangkal dan jauh meleset, mengatakan perdana menteri hanya sekadar membayangkan dan tidak memberikan bukti jelas terhadap dakwaannya.

“Komitmen kerajaan PN sangat jelas dalam isu perjudian. Kerajaan Kedah pimpinan PN tegas dengan komitmen menutup premis perjudian di seluruh negeri ini bermula tahun 2023. Ia menuruti langkah yang diambil Kelantan dan Terengganu. 

“Sejak bila syarikat perjudian sangat mesra dengan PN sehingga sanggup mendanai perjalanan pilihan rayanya?”