- Iklan -
Berita

Padang Serai dijangka cerah, Tioman hujan pagi esok

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata para pengundi dinasihatkan sentiasa peka kepada keadaan sekeliling khususnya cuaca.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya mendengar taklimat sebelum hari pengundian di Tioman, Pahang hari ini. Gambar: Bernama
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya mendengar taklimat sebelum hari pengundian di Tioman, Pahang hari ini. Gambar: Bernama

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kawasan pengundian di bahagian Parlimen Padang Serai, Kedah esok mengalami cuaca cerah pada pagi manakala di sebelah petang akan berlaku ribut petir atau hujan.

Di bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang pula, cuaca diramalkan hujan pada sebelah pagi manakala di sebelah petang dijangkakan cuaca dalam keadaan baik.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata para pengundi dinasihatkan sentiasa peka kepada keadaan sekeliling khususnya cuaca.

“Rancang perjalanan ke tempat mengundi dengan sebaiknya dengan merujuk kepada maklumat cuaca serta ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia di pelbagai medium penyebaran rasmi jabatan.

“Keluarlah untuk mengundi dengan lebih awal sekiranya cuaca dijangka baik pada awal pagi. Jangan bertangguh kerana cuaca di kawasan tropika boleh berubah dengan pantas iaitu ribut petir berserta hujan lebat  boleh terbentuk dan berlaku dalam jangka masa yang singkat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Helmi turut memaklumkan supaya orang ramai mengelakkan diri berada di tempat lapang seperti padang dan berlindung segera di struktur kukuh (bangunan).

“Selain itu, elakkan guna telefon atau kelengkapan elektrik, jauhi rod pengalir elektrik seperti tiang elektrik dan tangga besi serta struktur tinggi seperti pokok atau yang tidak kukuh,” katanya.

Esok adalah hari mengundi di kawasan Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan proses pengundian dijadual tamat pada 6 petang.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi