- Iklan -
Berita

'Mana Zafrul', warga net persoal menteri tak hadir mesyuarat Kabinet pertama

MalaysiaNow difahamkan tiada sebarang delegasi perdagangan dijadualkan walaupun wujud dakwaan Zafrul sedang berada di UAE bagi tujuan itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Tengku Zafrul Aziz menyaksikan perlawanan Selangor dan Johor bagi merebut Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil pada 26 November beberapa hari sebelum kejutan pengumuman beliau kembali menganggotai Kabinet walaupun kalah pada pilihan raya umum baru-baru ini. Gambar: Twitter
Tengku Zafrul Aziz menyaksikan perlawanan Selangor dan Johor bagi merebut Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil pada 26 November beberapa hari sebelum kejutan pengumuman beliau kembali menganggotai Kabinet walaupun kalah pada pilihan raya umum baru-baru ini. Gambar: Twitter

Persoalan dibangkitkan berhubung lawatan ke luar negara pertama seorang anggota Kabinet kerajaan baru diterajui Anwar Ibrahim, selepas sebuah akhbar mendakwa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Aziz yang baru dilantik sedang melakukan perjalanan bagi "misi perdagangan" di luar negara sehari selepas secara rasmi mengimbas perakam waktu bagi kali pertama di Putrajaya.

Akhbar tempatan, Berita Harian memetik sumber yang menafikan spekulasi bekas jurubank yang dilantik sebagai senator itu berlepas ke Qatar, di mana Piala Dunia sedang berlangsung ketika ini.

Sebaliknya, akhbar harian itu mendakwa Zafrul kini berada di negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi misi perdagangan.

Sementara itu, sumber di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) memberitahu MalaysiaNow pihaknya tidak mengetahui sebarang delegasi perdagangan dijadualkan.

Seorang pembantu media Zafrul juga tidak memberikan maklum balas ketika dihubungi MalaysiaNow setakat artikel ini ditulis.

Misi perdagangan biasanya dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), agensi yang berada di bawah Miti di mana ia bertanggungjawab untuk menarik pelaburan asing ke dalam negara.

Keberadaan Zafrul ketika ini menjadi topik perbincangan selepas tetap dinamakan sebagai menteri oleh Anwar walaupun kalah dalam pilihan raya baru-baru ini.

Tambahan pula apabila Zafrul tidak hadir dalam mesyuarat Kabinet pertama yang dipengerusikan perdana menteri hari ini.

Di media sosial, ketidakhadiran Zafrul dalam mesyuarat Kabinet mencetuskan pelbagai persoalan.

"Mana Zafrul? Mesyuarat pertama Kabinet pun tak hadir?” soal Shahrul Azwan, memberi reaksi kepada gambar kerusi kosong semasa mesyuarat Kabinet pagi tadi.

Pengguna AbahAtok turut membuat ulasan mengatakan oleh kerana Zafrul tidak hadir, menteri itu boleh menjawab tidak tahu jika beliau ditanya “apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan" sebagai seorang menteri.

"Jadi lepas ni Zafrul boleh cakap ‘saya tak tahu' jika berlaku sebarang pelanggaran? Zafrul mesti tunjuk surat cuti untuk jelaskan kenapa dia tidak hadir."

Gurauan itu kemudiannya dijawab seorang pengguna lain.

"Dia ingat dia dapat cuti ganti sebab ‘clock ini’ hari Sabtu kot," kata Amm Arlington, merujuk laporan yang mengatakan Zafrul mengimbas kad perakam waktunya bagi kali pertama pada Sabtu lalu.

Pelantikan Zafrul sebagai menteri mengejutkan ramai pihak, kerana bekas menteri kewangan menjadi antara sasaran serangan Anwar terhadap dua pentadbiran kerajaan terdahulu yang diterajui Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Mereka juga mempersoalkan mengapa bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad tidak dilantik semula untuk memegang portfolio kesihatan selepas berjaya menewaskan Zafrul di Kuala Selangor.