- Iklan -
Berita

Kumpulan 'gangster' sukarkan usaha hapus tapak sampah haram di Selangor, kata exco

Menurut Ng Sze Han, pihak berkuasa tempatan berdepan kekangan untuk mengambil tindakan kerana undang-undang sedia ada terhad.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han (berdiri) berucap pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini. Gambar: Bernama
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han (berdiri) berucap pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini. Gambar: Bernama

Halangan secara fizikal dan provokasi daripada pihak tertentu termasuk kumpulan gangster yang bertindak sebagai operator tapak pelupusan sampah haram, antara masalah dihadapi kerajaan Selangor dalam usaha membasmi pembuangan sampah haram di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han berkata selain itu kewujudan "tonto" di sekitar tapak sampah haram yang menyalurkan maklumat keberadaan kenderaan pihak berkuasa, menyukarkan tindakan dikenakan.

Ng berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) menghadapi kekangan untuk mengambil tindakan ke atas individu terbabit kerana peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada terhad serta tertakluk hanya kepada pembuang sampah (lori sampah) dan tidak termasuk kepada operator yang menguruskan tapak sampah haram.

“Kuasa perundangan untuk dikenakan ke atas operator adalah tidak jelas dan amaun denda pada peruntukan UUK adalah tidak relevan. Selain itu, tiada peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan kepada pengusaha sampah haram yang menggunakan tanah orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi  menjawab soalan Edry Faizal Eddy Yusof (PH-Dusun Tua) yang ingin tahu halangan yang dihadapi kerajaan negeri dalam membasmi tapak sampah haram, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Ng berkata tapak sampah haram tersebut juga dijalankan di tanah milk persendirian yang tidak diuruskan dan dijaga dengan baik malah maklumat pemilik tanah seperti alamat surat-menyurat dan nombor telefon untuk dihubungi juga sukar untuk diperoleh.

“Di samping itu, terdapat rumah ibadat yang telah didirikan dalam kawasan tapak pelupusan sampah haram dan menjadi isu keagamaan apabila tindakan penguatkuasaan dijalankan,” katanya.

"Selain itu, katanya tindakan penguatkuasaan secara bersepadu antara agensi kerajaan termasuk untuk mengenal pasti pemilik yang sah mengambil masa yang panjang di samping kekangan jumlah anggota bagi tujuan pemantauan, tindakan dan kuasa-kuasa PBT ke atas pemilik tanah atau kenderaan yang membawa sampah,” katanya.