- Iklan -
Berita

BN perlu menang di Tioman demi parti, rakan gabungan, kata Wan Rosdy

Pengerusi BN Pahang berkata kemenangan di kerusi itu untuk menyeimbangkan kedudukan jumlah kerusi di DUN bagi menjamin kestabilan negeri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail bersama Pengerusi PH Pahang Amirudin Shari dan Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika kempen bersama di Rompin pada 30 November. Gambar: Bernama
Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail bersama Pengerusi PH Pahang Amirudin Shari dan Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika kempen bersama di Rompin pada 30 November. Gambar: Bernama

Barisan Nasional (BN) perlu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, bagi menjaga maruah parti dan rakan gabungannya Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusi BN Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata kemenangan BN bagi menawan kerusi itu juga, signifikan bagi menyeimbangkan kedudukan jumlah kerusi di DUN Pahang, dalam menjamin kestabilan dan kemakmuran rakyat di negeri Pahang.

Berdasarkan keputusan PRU15, BN memperoleh 16 kerusi DUN, kurang satu berbanding Perikatan Nasional (PN) iaitu sebanyak 17 kerusi manakala PH (8).

“Kita tak ada pilihan setakat hari ini kedudukan (sentimen pengundi) masih 50-50, tetapi saya dimaklumkan graf (sokongan kepada BN) masih meningkat.

“Sebabnya, yang pertama kita dengan PH ikhlas dan BN pun ikhlas demi untuk kita menubuhkan kerajaan, demi kestabilan negeri,” katanya ketika berucap di Program Santai Anak muda di Rompin semalam. 

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menyeru barisan jentera parti untuk lebih agresif bertemu seramai mungkin pengundi bagi meraih sokongan untuk menjamin kemenangan BN khususnya undi pengundi muda.

PRU15 DUN Tioman akan berlangsung pada 7 Disember ini, selepas ditangguhkan ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lepas, dipercayai akibat serangan jantung. 

Pilihan raya itu menyaksikan saingan lima penjuru antara calon BN Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (bebas).

Bagaimanapun, Amanah sebelum ini memaklumkan Fadzli memberi laluan kepada Johari, mengambil kira kerjasama antara BN dan PH membentuk kerajaan negeri Pahang selepas PRU15.