- Iklan -
Berita

PH sedia bincang dengan BN hadapi PRN Selangor, kata Amirudin

Menteri besar Selangor berkata kerjasama dengan BN mungkin dapat membantu PH memenangi lebih banyak kerusi DUN.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan parti mengibarkan bendera Pakatan Harapan di sebelah bendera Barisan Nasional menjelang pilihan raya umum di Keramat Permai, Kuala Lumpur.
Sukarelawan parti mengibarkan bendera Pakatan Harapan di sebelah bendera Barisan Nasional menjelang pilihan raya umum di Keramat Permai, Kuala Lumpur.

Pakatan Harapan (PH) Selangor sedia berbincang dengan Barisan Nasional (BN) untuk menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tahun depan, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata pihaknya kini ke arah perbincangan dengan BN untuk mendapatkan persefahaman antara mereka bagi meneruskan kerjasama di peringkat Persekutuan yang berjaya membentuk kerajaan dengan nilai kestabilan. 

“Walaupun Selangor sudah cukup stabil, kita tidaklah besar kepala atau bersikap tamak haloba, Kalau ada ruang perbincangan, kita bincang,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan PH dan BN akan bekerjasama bagi menghadapi PRN Selangor pada tahun hadapan.  

“Saya sebagai pengerusi PH Selangor berharap kita dapat mengekalkan Selangor, kalau terpaksa sendirian kita sendirianlah, kalau dapat gabungan dari rakan lain mungkin boleh membantu kita di beberapa kerusi lagi...kita terbuka untuk perbincangan untuk kerjasama pada PRN akan datang,” katanya.

Mengenai kedudukan ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, yang kini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar Rizam Ismail daripada BN, Amirudin berkata tumpuan harus diberikan kepada pilihan raya negeri dan bukannya kedudukan kerusi DUN termasuk  siapa akan menjadi ketua pembangkang.

Beliau berkata hala tuju parti parti sama ada PH atau BN dijangka nampak lebih jelas menjelang pilihan raya negeri yang berbaki kira-kira enam bulan sebelum tempoh DUN tamat.