- Iklan -
Berita

Pengaruh TikTok dalam PRU15

Walaupun media sosial digunakan sebagai medium kempen pilihan raya 2018, namun ia lebih banyak tertumpu kepada Twitter dan Facebook yang lebih tradisional.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan di hadapan deretan bendera kempen parti politik ketika Pilihan Raya Umum ke-15 di Tambun, Perak.
Seorang lelaki berjalan di hadapan deretan bendera kempen parti politik ketika Pilihan Raya Umum ke-15 di Tambun, Perak.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang melabuhkan tirai minggu lalu menyaksikan parti-parti politik menyasarkan media sosial sebagai medan pertempuran baru dalam perlumbaan mendapatkan sokongan golongan belia. 

Terdapat kira-kira 4 juta pengundi berumur antara 18 hingga 21 tahun daripada jumlah pengundi keseluruhan sebanyak 21.1 juta pada PRU15 lalu. 

PRU15 disebut-sebut sebagai "PRU Tik Tok" apabila undi belia menepis ramalan badan-badan pemikir seperti Perikatan Nasional (PN) hanya mampu meraih 25 kerusi dan Barisan Nasional (BN) 51 kerusi Parlimen. 

Jangkaan tersebut meleset apabila PN mendapat kerusi di kawasan majoriti pengundi Melayu dan kerusi yang dimenangi BN turun kepada 30 iaitu 51% daripada bilangan pada PRU14 lalu. 

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, 75, antara yang bijak menguasai sosial media Tik Tok ketika berkempen di mana aplikasi itu menjadi tumpuan utama media sosial dalam negara. 

Seorang pakar penganalisis data Mohd Hafeez Nazri berkata impak penggunaan sosial media sudah mula kelihatan sejak PRU14 lalu. 

Ketika itu, saluran yang digunakan adalah berbeza dengan saluran yang digunakan pada PRU15 kali ini. 

"Kita tengok PRU14 kita guna Facebook sebagai saluran utama. Tapi anginnya sudah beralih disebabkan TikTok sejak dua hingga tiga tahun lalu. 

"Jika lihat pada data tangga tiga terbaik penggunaan media sosial pun, pengguna TikTok di Malaysia dalam tempoh dua tahun ini meningkat kepada 14.4 juta orang," katanya kepada MalaysiaNow. 

Tambahnya, jika dibandingkan dengan pengguna Twitter hanya mempunyai sekitar 4.4 juta dan Facebook masih mempunyai bilangan tertinggi sekitar 21 juta pengguna memandangkan aplikasi itu sudah bertapak melebih satu dekad lalu. 

Katanya, peralihan dan peningkatan pengguna ke Tik Tok itu sedikit sebanyak mengubah kempen PRU15 dan strategi mempengaruhi terutamanya kepada pengundi belia apabila mesej-mesej kempen dapat disampaikan kepada golongan tersebut. 

Mengulas lanjut, Hafeez berkata memang terdapat pola perubahan yang ketara dalam cara berkempen oleh parti-parti politik menggunakan medium media sosial. 

Katanya, ini kerana matlamat mereka adalah untuk mencapai sasaran kelompok yang besar menggunakan platform tunggal menjadikan ianya lebih mudah untuk diuruskan. 

Dengan ini, media sosial dilihat menjadi pilihan utama kerana boleh menghasilkan video pendek dan siaran langsung ceramah-ceramah politik. 

Pada Jun, badan tinjauan bebas Merdeka Center menunjukkan golongan belia banyak menghabiskan masa melayari internet dengan 32% untuk tujuan hiburan, 17% tugasan belajar dan mendapatkan maklumat terkini pada kadar 16% sahaja. 

Malah, badan itu juga mendedahkan hanya hanya 40% belia Melayu akan keluar mengundi sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat. 

Sekali lagi, tinjauan itu meleset apabila golongan belia khusunya pengundi kali pertama menggunakan hak mengundi mereka dan menjalankan tanggungjawab pada 19 November lalu. 

Kekurangan pertembungan di media sosial

Sejak sekian lama, Umno dan Barisan Nasional (BN) mendominasi corak kempen pilihan raya di negara ini.

Berpuluh tahun lamanya pertempuran sengit gabungan politik bertarung melibatkan ceramah umum, perang poster dan manipulasi media-media massa. 

Perkembangan teknologi dan digital pula membawa kepada kepesatan blog dibangunkan pada zaman pentadbiran perdana menteri ke-5, Abdullah Ahmad Badawi dan berlarutan sehingga peringkat awal pentadbiran Najib Razak. 

Di penghujung pentadbirannya, naratif pilihan raya tertumpu kepada media sosial Facebook dan Twitter sehingga berjaya menumbangkan kerajaan BN apabila kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB memenuhi platform-platform berkenaan. 

Bagaimanapun, kata Hafeez, di sebalik rancaknya parti-parti politk menggunakan media sosial untuk berkempen, mereka juga perlu meletakkan perhatian kepada kelemahan dan kelompongan yang wujud pada kaedah tersebut. 

Ini terutamanya platform digital mempunyai kelemahan terutamanya limitasi akses internet, gender dan kelompok umur rakyat. 

Katanya, penggunaan media sosial boleh mencapai sasaran secara meluas tetapi kelompok yang ingin dipasarkan kemungkinan tercicir. 

Atas sebab itu, katanya, penggunaan kempen secara dalam talian lebih baik digunakan untuk membuat hebahan kepada skop makro atau menyeluruh seperti pengumuman manifesto. 

"Jika kita lihat kepada data, 43% atau lebih 50% pengguna media sosial sebenarnya dalam kalangan lelaki. 

"Jadi bagaimana nak sasar kepada golongan wanita kalau hanya menggunakan platform media sosial?

"Perkara-perkara begini perlu dinilai dan dilihat kembali kalau parti politk betul-betul mahu kempen menggunakan media sosial.

“Tapi bergantung juga kepada matlamatnya sama ada di peringkat makro atau mikro."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.