- Iklan -
Berita

Jika pembangkang 'gang up', PM baru boleh tumbang, kata PBB

Pemimpin GPS Abdul Karim Rahman menegaskan mana-mana perdana menteri yang dilantik mesti mendapat sokongan daripada semua ahli Parlimen.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah. Gambar: Bernama
Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah. Gambar: Bernama

Seorang menteri Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata keyakinan terhadap perdana menteri yang dilantik menjadi lebih penting selain pembentukan kerajaan perpaduan yang menjadi penamat kesuntukan politik sejak malam undi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu, lalu. 

Beliau yang juga naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menegaskan mana-mana perdana menteri yang dilantik mentadbir kerajaan mesti mendapat sokongan dan keyakinan daripada semua ahli-ahli Parlimen. 

"Sekiranya pembangkang ‘gang up’ bersama-sama, mungkin mereka mempunyai lebih daripada 112 (sokongan). 

“Itu bermakna mereka sudah mendapat keyakinan ahli Parlimen," katanya pada satu sidang media di Sarawak, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan media berhubung cadangan pembentukan kerajaan perpaduan selepas beberapa hari kemelut politik menentukan pemimpin baru di Putrajaya. 

Bagaimanapun, Karim bersetuju dengan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan mengatakan ianya satu saranan yang baik untuk memastikan para pemimpin negara menjadi rasional dalam mentadbir negara. 

Awal hari ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah perkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10. 

Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara tidak menyatakan tentang penubuhan kerajaan perpaduan pasca PRU15. 

Ini bermakna, jika berlanjutan sehingga ke Parlimen, Anwar boleh diuji dengan usul tidak percaya perdana menteri oleh ahli Dewan Rakyat. 

Atas sebab itu, kata Karim, perdana menteri baru itu perlu memastikan beliau mendapat sokongan dan kepercayaan ahli Parlimen. 

"Kalau mereka masih berpegang kepada prinsip bahawa tidak mahu ada kerjasama, Agong mungkin perlu melantik seseorang yang paling diyakini (dalam kalangan ahli Parlimen) meskipun nombornya kurang daripada 112," katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berharap supaya kebajikan dan kepentingan negeri Sarawak terus dijaga tanpa mengira barisan jemaah menteri yang akan dipilih untuk membangun negara. 

Ini kerajaan katanya, Sarawak juga menjadi salah satu negeri yang menyumbang utama kepada pembangunan Malaysia. 

"Saya harap, Sarawak tidak dipinggirkan," katanya.