- Iklan -
Berita

Jangan tuding jari cari siapa salah, kata Bung Moktar

Pengerusi BN Sabah itu berkata gesaan supaya Zahid letak jawatan adalah keterlaluan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Barisan Nasional Sabah Bung Moktar Radin bercakap kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada 22 November. Gambar: Bernama
Pengerusi Barisan Nasional Sabah Bung Moktar Radin bercakap kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada 22 November. Gambar: Bernama

Setiap pemimpin Barisan Nasional (BN) harus bertanggungjawab dengan keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukannya menuding jari mencari siapa yang salah, kata Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin.

Justeru, beliau berkata gesaan MCA supaya Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan adalah keterlaluan.

"Orang yang kalah perlu menerima kekalahan dan tidak perlu menyalahkan orang lain. Saya fikir MCA keterlaluan apabila meminta Presiden mengundur diri,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur semalam.

Pengerusi BN Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir berkata MCA seharusnya menghormati Umno yang telah membantu parti komponen itu memenangi dua kerusi Parlimen iaitu Ayer Hitam dan Tanjung Piai di Johor.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata MCA perlu mengambil tanggungjawab kerana kegagalan parti itu mendapatkan sokongan dan memenangi kawasan majoriti pengundi Cina pada PRU15.

Terdahulu, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata MCA percaya bahawa Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai pengerusi dan menggesa beliau meletakkan jawatan secara terhormat.

Pada PRU15 Sabtu lepas, BN hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi, kekalahan paling buruk dalam sejarah parti itu.