- Iklan -
Berita

Anwar angkat sumpah perdana menteri ke-10

Beliau mengangkat sumpah di Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong ditemani keluarga petang ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pakatan harapan Anwar Ibrahim menandatangani surat pengesahan jawatan ketika upacara mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di Istana Negara hari ini. Gambar: Bernama
Pengerusi Pakatan harapan Anwar Ibrahim menandatangani surat pengesahan jawatan ketika upacara mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di Istana Negara hari ini. Gambar: Bernama

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai perdana menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, pada pukul 5.06 petang.

Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan raja-raja Melayu di Istana Negara pagi tadi bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Anwar, 75, yang berbaju Melayu hitam lengkap bersamping warna keemasan diriingi isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Sejurus mengangkat sumpah, ahli Parlimen Tambun itu menandatangani beberapa dokumen berkaitan sebelum upacara itu diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah.

Upacara disaksikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Turut hadir, Peguam Negara Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Pemimpin parti politik yang hadir ialah pemimpin parti komponen PH iaitu Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Turut hadir, Pengerusi BN merangkap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, serta anak-anak dan menantu Anwar.

Buat pertama kali dalam sejarah negara, keputusan pilihan raya umum berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

PRU15 pada 19 November menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar parti dan gabungan politik mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengakhiri kemelut pembentukan kerajaan pasca PRU15, akhirnya hasil rundingan antara parti bersetuju dan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui PH.