- Iklan -
Berita

Selepas jumpa Anwar, Muhyiddin, Agong titah 30 ahli Parlimen BN mengadap

Kesemua mereka dititah mengadap di Istana Negara bermula pukul 10.30 pagi

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengalu-alukan wartawan yang berkumpul di pintu pagar Istana Negara. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengalu-alukan wartawan yang berkumpul di pintu pagar Istana Negara. Gambar: Bernama

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kini menitahkan 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk mengadap esok, ketika drama berhubung calon perdana menteri dan penubuhan kerajaan baru masih berterusan.

Istana Negara berkata sesi mengadap itu akan dibuat bermula 10.30 pagi esok.

“Proses ini adalah bertujuan supaya Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. 

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal perdana menteri Malaysia ke-10 selesai,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam sebuah kenyataan.

Titah untuk mengadap itu adalah susulan pertemuan Sultan Abdullah bersama Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim yang dilihat bakal menyelesaikan kemelut politik negara selepas Parlimen tergantung akibat tiada majoriti jelas dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata selepas sesi mengadap beliau hari ini, tiada sebarang keputusan dicapai.

Terdahulu, BN yang kalah teruk pada pilihan raya umum Sabtu lalu berkata ia akan menjadi pembangkang dan tidak akan menyokong mana-mana gabungan.

Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir turut berkata tiada ahli Parlimen BN yang memberikan sokongan kepada Muhyiddin dan berkata mereka menyerahkan perkara itu kepada Agong.

"Dewan Tertinggi juga mengambil pendirian terbuka untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan bagi memastikan sebuah kerajaan dapat dibentuk demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Dengan pendirian dan keputusan yang dicapai, kedudukan BN adalah kekal seperti sekarang," katanya.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pemimpinnya lain telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin PH semalam ketika presiden Umno itu berada di bawah tekanan hebat daripada ahli Parlimen yang enggan bekerjasama dengan musuh lama mereka.

Beliau juga turut digesa termasuk dari dalam gabungannya sendiri, supaya berundur berikutan prestasi buruk BN pada pilihan raya kali ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.