- Iklan -
Berita

Adun Sanglang Mohd Shukri angkat sumpah sebagai MB Perlis

Beliau mengangkat sumpah di Istana Arau hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Adun Sanglang Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalulail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau hari ini. Gambar: Bernama
Adun Sanglang Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalulail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau hari ini. Gambar: Bernama

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baru hari ini.

Shukri, 61, menerima watikah pelantikan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Bilik Hijau, Istana Arau pada 4 petang.

Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Sirajuddin memberi perkenan pelantikan Shukri berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu sebagai Menteri Besar dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi PN yang menyerah watikah lantikan pada Ahad lepas sebelum mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin semalam.

Shukri yang juga pesuruhjaya PAS Perlis adalah Adun Sanglang selama tiga penggal berturut-turut sejak 2013.

PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15.