- Iklan -
Berita

Speaker minta parti politik kemuka SD berhubung calon PM

Azhar Azizan Harun berkata dokumen-dokumen tersebut perlu diserahkan ke Istana Negara selewat-lewatnya sebelum pukul 2 petang hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan Istana Negara di Kuala Lumpur pada 6 Oktober. Gambar: Reuters
Pemandangan Istana Negara di Kuala Lumpur pada 6 Oktober. Gambar: Reuters

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun meminta parti politik yang menang jumlah kerusi substantial pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mengemukakan nama-nama parti dan ahli Parlimen bebas (sekiranya ada), yang bersetuju menganggotai gabungan yang mempunyai sekurang-kurangnya 112 kerusi, bagi menubuhkan kerajaan Persekutuan melalui surat akuan berkanun.

Beliau berkata perkara itu sudah beliau maklumkan kepada ketua-ketua dan setiausaha-setiausaha parti berkenaan, melalui surat yang diutuskan hari ini bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Mereka juga diminta menamakan seorang daripada ahli Dewan Rakyat dalam gabungan mereka, yang diberi kepercayaan untuk menjadi perdana menteri ke-10 melalui surat akuan berkanun dari setiap ahli Dewan Rakyat yang menganggotai gabungan tersebut, yang dinyatakan dengan terang dan jelas,” katanya dalam kenyataan semalam.

Azhar berkata dokumen-dokumen tersebut perlu diserahkan ke Istana Negara selewat-lewatnya sebelum pukul 2 petang hari ini.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan semalam berkata Yang di-Pertuan Agong menerima maklum bahawa pada PRU15 semalam, tiada gabungan parti politik yang berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada PRU15, memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon perdana menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baru sebelum 2 petang, esok.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.