- Iklan -
Berita

Desakan agar Zahid, Mat Hasan letak jawatan bermula

'Tsunami' sudah berlaku dalam PRU15 yang menyaksikan majoriti orang-orang Melayu menolak Umno.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden MCA Wee Ka Siong bersama pemimpin Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan pada acara pengumuman calon gabungan itu di Kuala Lumpur malam tadi.
Presiden MCA Wee Ka Siong bersama pemimpin Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan pada acara pengumuman calon gabungan itu di Kuala Lumpur malam tadi.

Selepas kekalahan mengaibkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam, suara mendesak agar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan mula kedengaran dari dalam parti itu sendiri.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dalam satu kenyataan berkata, “tsunami” sudah berlaku dalam PRU15 yang menyaksikan majoriti orang-orang Melayu menolak Umno.

“Oleh itu, dengan rasa penuh hormat dan takzim, saya memohon supaya Presiden Umno Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden pada kadar yang segera, sebagaimana Najib Razak telah berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai presiden pada 2018,” katanya.

“Insya Allah tindakan berjiwa besar ini akan membantu kita mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti Umno yang kita semua cintai ini.”

Menurut Onn, usaha untuk memperbaiki Umno perlu mula dilakukan sekarang dan jika tiada perubahan dilakukan, tidak mustahil Umno akan kalah semua kerusi pada masa akan datang.

“Umno telah rebah. 

“Umno dan BN hanya menang 9 kerusi Parlimen di Johor sementara itu, kita tidak memenangi satupun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu,” katanya.

Sementara Ketua Pemuda Umno Kota Raja Sheikh Weshal Sheikh Ahmad berkata, kekalahan teruk BN pada PRU15 berpunca daripada tindakan Zahid yang disifatkannya membelakangkan parti dalam proses pemberian watikah calon.

"Pemuda Umno Bahagian Kota Raja menyeru Ahmad Zahid agar mengambil tanggungjawab atas kekalahan ini dan meletak jawatan seperti mana yang dilakukan oleh Najib Razak apabila parti kalah dalam PRU14.

"Pemuda Umno Kota Raja juga meminta timbalan presiden, Mohamad Hasan (Mat Hasan) turut mengotakan janji beliau untuk meletak jawatan sekiranya BN gagal memenangi pilihan raya kali ini," katanya dalam satu kenyataan.

BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen dan tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis dan kebanyakan di Pahang dan Perak.

PRU15 yang diadakan atas desakan Zahid dan pemimpin kluster mahkamah Umno, menyaksikan Parlimen tergantung dengan tiada blok mendapat majoriti mudah.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi 73 kerusi. 

Ia diikuti oleh BN (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1) dan bebas (2).

Kerajaan campuran dijangka akan terbentuk selepas PRU15 namun masih belum jelas gabungan mana akan terlibat.

Dalam pada itu, Sheikh Wesal berkata, rundingan dengan gabungan lain perlu diketuai Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno.