- Iklan -
Berita

Tarikh baru pilihan raya DUN Tioman 7 Disember

Hari penamaan calon ditetapkan pada 24 November.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki memasukkan kertas undi ke dalam peti undi di pusat pengundian di Selayang, Selangor.
Seorang lelaki memasukkan kertas undi ke dalam peti undi di pusat pengundian di Selayang, Selangor.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang yang tidak berlangsung hari ini berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi tadi, akan diadakan pada 7 Disember ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan hari ini berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 24 November, manakala hari mengundi awal pada 3 Disember.

Beliau berkata SPR menerima writ pilihan raya yang dikembalikan oleh pegawai pengurus bahagian pilihan raya Parlimen Rompin hari ini berhubung kematian calon PN berkenaan.

“Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November hingga pukul 11.59 malam, 6 Disember,” katanya.

Ini bermakna, PRU15 bagi DUN Tioman diadakan serentak dengan Parlimen Padang Serai susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) M Karupaiya yang juga penyandang kerusi itu, pada Rabu lepas.