- Iklan -
Berita

‘Tak logik’, dakwaan Rafizi berhubung gaji kakitangan Invoke dipersoal

Ahmad Aliff Ahmad Shariffuddin kiraannya terhadap kewangan syarikat itu menyebabkan beliau meragui dakwaan pemimpin PKR itu baru-baru ini.

Azzman Abdul Jamal & Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pengasas bersama SCRUT Ahmad Aliff Ahmad Sharifuddin mempersoalkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berhubung Invoke Solutions.
Pengasas bersama SCRUT Ahmad Aliff Ahmad Sharifuddin mempersoalkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berhubung Invoke Solutions.

Seorang juru kempen yang terkenal dengan usaha pendedahan penipuan korporat dan kewangan di media sosial baru-baru ini mempersoalkan sama ada syarikat milik Rafizi Ramli sememangnya memiliki 150 pekerja atau menawarkan gaji minimum RM3,200.

Pengasas Bersama SCRUT Ahmad Aliff Ahmad Shariffuddin, berkata rujukan terhadap laporan audit syarikat Rafizi menunjukkan percanggahan dengan kenyataannya apabila kos gaji dinyatakan ialah RM3.3 juta.

Katanya, sekiranya gaji minimum bulanan pekerja ialah RM3,200, ini bermakna Invoke membayar RM480,000 sebulan dan RM5.76 juta gaji pekerja setahun.

Aliff turut berkata perkara ini menjadi persoalan apabila laporan audit syarikat milik timbalan presiden PKR itu menyatakan kos pekerja ialah RM3.3 juta manakala pendapatan Invoke ialah RM6.3 juta.

"Cuba buat kira-kira, RM3200 kali RM150 orang bersamaan RM480,000 sebulan bersamaan RM5.76 juta," katanya dalam sebuah hantaran Facebook.

"Jika diambil RM3.4 juta bahagi dengan 12 (bulan) dan 150 (pekerja) bersamaan RM1,900 sebulan gaji minimum purata. Bukannya RM3,200,"

Malah, Aliff turut membuat kiraan sekiranya syarikat Invoke hanya memiliki 100 pekerja, namun gaji minimum yang dikira hanya RM2,888, masih tidak mencapai angka RM3,200.

Aliff berkata perkara itu belum termasuk pemotongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso, selain faedah kakitangan yang lain di mana kemungkinan sesetengah kakitangan memang sudah mempunyai gaji yang lebih tinggi.

"Itu yang aku cakap tak logik. Tak tahulah kalau ada top up dan jual pegangan saham untuk tambah,” katanya. 

Beliau berkata Rafizi perlu menunjukkan kenyataan daripada KWSP sebagai bukti bayaran kepada 150 kakitangannya.

Rafizi menerima kritikan dan dipersoalkan susulan pengisytiharan asetnya yang menyenaraikan RM16.7 juta saham Invoke sebagai sebahagian asetnya yang berjumlah RM19.67 juta.

Beliau juga mendakwa sudah bergelar jutawan pada usia 30 tahun memetik gaji dan bonus yang diterimanya dari Petronas, di mana ia menimbulkan lebih banyak persoalan daripada pengkritik mengenai sumber pendapatannya.

Mengulas mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh timbalan presiden PKR, Aliff turut mempersoalkan sama ada pesuruhjaya sumpah benar-benar diberikan dokumen berkaitan apabila Rafizi mengisytiharkan asetnya

Beliau juga tertanya-tanya sama ada dakwaan Rafizi menerima gaji sebanyak RM25,000 daripada Petronas ketika berusia 27 tahun dengan pampasan RM400,000 dan bonus 10 hingga 12 bulan sememangnya disemak pesuruhjaya sumpah untuk pastikan dokumen tersebut wujud.

Menurutnya, akuan bersumpah tersebut mestilah disertakan sekali dengan lampiran bukti dan dokumen yang menyokong kenyataan akuan bersumpah.

"Jika sekadar kita sendiri yang letak nilai aset, saya pun boleh buat akuan bersumpah mengaku ada aset bernilai RM100 bilion!"