- Iklan -
Berita

Saya diusir ketika syor supaya Najib dakwa Jho Low kerana curi wang 1MDB, kata saksi

Tong Kooi Ong berkata semasa pertemuan pada 2015, beliau mengesyorkan agar Najib mendakwa Jho Low kerana wang sebanyak AS$700 juta milik 1MDB telah dipindahkan kepada Good Star Ltd, sebuah syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Pengerusi Kumpulan The Edge Media semalam memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Najib Razak telah memintanya meninggalkan kediaman bekas perdana menteri itu di Langgak Duta apabila beliau mengesyorkan agar ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, didakwa kerana mencuri wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tong Kooi Ong, 63, berkata semasa pertemuan pada 6 Mac 2015, beliau mengesyorkan agar Najib mendakwa Jho Low kerana wang sebanyak AS$700 juta milik 1MDB telah dipindahkan kepada Good Star Ltd, sebuah syarikat milik Jho Low.

Saksi pendakwaan ke-43 itu berkata demikian ketika disoal oleh timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram pada perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Sebelum itu, Tong berkata beliau telah bertemu dengan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim di Pusat Beli-Belah Bangsar dan berkongsi kebimbangan sama berkaitan isu 1MDB.

“Azeez kemudian mencadangkan agar saya bertemu dengan Najib,” katanya.

Ketika bertemu dengan Najib, Tong berkata bekas perdana menteri itu berkata artikel yang disiarkan oleh The Edge berhubung isu 1MDB sejak 2010 adalah tidak tepat.

“Saya memaklumkan beliau bahawa kami memiliki beribu-ribu emel yang antaranya jelas membuktikan bahawa PetroSaudi (yang menjalin usaha sama dengan 1MDB) bukanlah milik kerajaan Arab Saudi. 

“Saya turut memaklumkan beliau bahawa AS$1 bilion yang disalurkan kepada usaha sama itu adalah tidak berasaskan penilaian sebenar aset yang dimiliki oleh PetroSaudi... Wang sebanyak AS$700 juta (daripada usaha sama itu) dipindahkan kepada Good Star yang dimiliki Jho Low," katanya sambil menambah selepas pertemuan itu, The Edge terus menerbitkan lebih banyak artikel mengenai isu 1MDB.

Saksi itu juga berkata susulan penerbitan artikel berkaitan isu 1MDB, tiga wartawan The Edge telah disiasat polis dan ditahan semalaman dalam lokap.

“Saya turut dilarang meninggalkan negara ini dan disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi pengubahan wang haram serta mengelak membayar cukai manakala penerbitan The Edge juga digantung namun perintah itu kemudian ditarik balik oleh mahkamah,” katanya.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.