- Iklan -
Berita

Ramalan BN raih majoriti mudah 'terlalu optimistik', kata penganalisis

Hisommudin Bakar berkata pandangan awam umumnya bersetuju tidak ada gabungan yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Barisan Nasional digantung di sepanjang jalan raya di Kuala Lumpur sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15.
Bendera Barisan Nasional digantung di sepanjang jalan raya di Kuala Lumpur sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15.

Keyakinan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan bahawa gabungan itu mampu membentuk kerajaan dengan 112 kerusi Parlimen disifatkan penganalisis sebagai "terlalu optimistik".

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, ini kerana pandangan awam umumnya bersetuju tidak ada gabungan yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.

"Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini menyaksikan pertembungan sengit antara tiga gabungan yang menyebabkan BN bakal menghadapi masalah membentuk majoriti mudah," katanya merujuk kepada persaingan antara BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kepada MalaysiaNow.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat dalam satu sidang akhbar semalam berkata beliau yakin BN mampu merentas angka itu pada PRU15 kali ini, melihatkan data dan keupayaan jentera.

"Saya yakin BN boleh 'cross the bridge' dan kita boleh bentuk kerajaan.

"Tetapi untuk mengukuhkan lagi kerajaan dengan mandat yang lebih besar, terpulang kepada siapa yang hendak bersama dengan kita," katanya.

Katanya, BN tidak mahu membentuk kerajaan campuran dengan gabungan-gabungan lain pasca PRU15.

Ini kerana ia menyukarkan proses pentadbiran apabila parti-parti lain harus dirujuk terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat.

Semenanjung Malaysia mempunyai 165 kerusi Parlimen manakala baki 57 kerusi pula di Sabah dan Sarawak.

Ketiga-tiga gabungan membuat ramalan sama sebelum ini, apabila PN dan PH turut menjangkakan sejumlah kerusi yang bakal dimenangi mereka.

PH sebelum ini berbeza pendapat apabila Anwar menjangkakan 100 kerusi yang boleh dimenangi gabungan itu, manakala Rafizi pula menjangkakan 80.

Menurut Hisommudin, unjuran oleh Tok Mat hanya masuk akal jika mereka memasukkan kerusi Sabah dan Sarawak sekiranya membentuk pakatan dengan parti-parti Borneo.

"Kalau kenyataan itu disandarkan dengan gabungan bersama blok Borneo, ia munasabah," tambahnya.

Di Borneo, saingan tertumpu antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan mempertahankan kedudukan mereka di negeri terbesar di Malaysia itu, manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berentap dengan parti tempatan lain seperti Warisan.

Tok Mat juga menyatakan pengundi sudah membuat pilihan dan tidak lagi berbelah-bahagi ketika kempen PRU15 tinggal beberapa hari lagi.

Namun kata Hisommudin, terlalu awal untuk membuat rumusan itu.

"Berdasarkan temu bual dengan anak muda, sekarang ini pun mereka masih mempertimbangkan pilihan.

"Mereka akan keluar mengundi, namun belum ada sikap yang tuntas terhadap parti-parti politik yang bertanding," katanya.

Katanya, pengundi pada usia 18 hingga 25 tahun masih bersifat terbuka.

Mereka mahu melihat tawaran yang bersesuaian daripada gabungan-gabungan yang bertanding.

"Sebahagian mereka berada di institut pengajian tinggi.

"Mereka baru balik ke kampung dan tidak mendapat gambaran sebenar calon yang bertanding di lokaliti mereka."

PRU15 akan berlangsung pada 19 November ini dengan 21 juta pengundi berdaftar layak memilih wakil rakyat masing-masing.

Turut berlangsung ialah pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Perlis, Pahang dan Perak yang diadakan serentak dengan PRU15.

Sementara 10 negeri lagi tidak membubarkan DUN.

PRU15 kali ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah politik negara, apabila 1,386 calon layak bertanding bagi kerusi Parlimen dan DUN.