- Iklan -
Berita

Muhyiddin tolak dakwaan kononnya Bersatu-PAS 'kahwin mutaah'

Presiden Bersatu itu menyifatkan jalinan kerjasama antara kedua-dua parti cukup baik dan rapat, memandangkan mereka merupakan pengasas kepada penubuhan gabungan tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada sidang media mengenai pilihan raya negeri Januari lalu.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada sidang media mengenai pilihan raya negeri Januari lalu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menolak dakwaan kononnya hubungan dan kerjasama antara Bersatu dan PAS dalam gabungan itu, diibaratkan seperti "kahwin mutaah" (kontrak/sementara).

Sebaliknya, Presiden Bersatu itu menyifatkan jalinan kerjasama antara kedua-dua parti itu cukup baik dan rapat, memandangkan mereka merupakan pengasas kepada penubuhan gabungan tersebut.

“Kita punya jalinan kerjasama cukup kuat, sebab PAS adalah pengasas PN, lepas tu Gerakan sertai (PN), kemudian Sabah; Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP), tetapi pengasas ialah Bersatu dan PAS, ini (hubungan) bukan mutaah.

“Kami dari segi politik, jalinan kami cukup baik. Mereka (pihak yang mendakwa) kata begitu mungkin (kerana) sokongan kami cukup kuat,” katanya kepada pemberita selepas Program Sembang Petang Bersama Abah di Taman Sri Stulang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid, yang mendakwa hubungan Bersatu dan PAS dalam PN diibaratkan sebagai perkahwinan "mutaah".

Mahdzir sebelum ini dilaporkan berkata hubungan Bersatu dan PAS diibaratkan sebagai perkahwinan mutaah atau sementara, dan bukan sesuatu yang menghairankan jika pemimpin kedua-kedua parti mengeluarkan kenyataan bercanggah, berhubung pendirian mereka.

Ia susulan laporan media yang memetik kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan di Kota Bharu semalam, yang menyatakan bahawa PN yakin dapat membentuk kerajaan dengan gabungan parti lain terutama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun Takiyuddin dalam satu kenyataan berasingan hari ini mendakwa, kenyataan beliau berhubung kerjasama PN dan BN selepas PRU15 telah diambil di luar konteks dan tajuk yang digunakan oleh beberapa media, telah mengelirukan pengundi.

Sementara itu, bekas perdana menteri itu mengulangi pendirian tidak akan bergabung dengan parti atau gabungan lain, bagi membentuk kerajaan seperti yang didakwa segelintir pihak. 

“Kami mahu lawan atas satu platform kami sendiri iaitu PN, tidak ada hendak berbaik-baik dengan BN apa lagi dengan PH (Pakatan Harapan),” katanya yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Pengerusi PH Anwar Ibrahim bahawa PN parti paling kaya di Malaysia, beliau mencabar calon Parlimen Tambun itu agar menunjukkan bukti.

“Apa bukti? Kalau hendak tunjukkan akaun bank antara PN dengan PH, saya boleh tunjukkan, boleh tidak Anwar tunjukkan akaun dia?

“Kami sebuah parti baru, kami tidak mempunyai banyak sumber, kami hanya bergantung kepada mereka yang mahu membantu kami, itu sahaja, saya cabar dia,” katanya.

Anwar dilaporkan mendakwa PN menjadi parti politik paling kaya ketika ini, berikutan banyak memperolehi projek yang bernilai bilion ringgit ketika tempoh pandemik Covid-19.

Beliau turut mendakwa Muhyiddin semasa menjadi perdana menteri ketika itu banyak mengeluarkan projek tanpa tender kepada pihak tertentu.