- Iklan -
Berita

Takiyuddin tiada mandat berunding dengan BN, kata Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata gabungan itu bertanding pilihan raya umum kali ini bagi menubuhkan kerajaan tanpa BN atau PH.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin Yassin hari ini menyanggah kenyataan seorang pemimpin kanan PAS berhubung kerjasama dengan Barisan Nasional, mengatakan Perikatan Nasional (PN) bertanding pilihan raya untuk menubuhkan kerajaan sendiri.

Menurut Muhyiddin sebagai pengerusi PN, beliau tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan BN.

"Tujuan PN bertanding dalam PRU15 adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan (PH).

"Saya sebagai pengerusi PN tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU ke-15," katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Takiyuddin sebelum ini berkata PN sedia membentuk kerajaan persekutuan dengan BN jika gagal memenangi kerusi mencukupi pada 19 November.

“Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain termasuk BN," katanya seperti dilaporkan media.

“Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU15, mungkin selepas PRU kita boleh wujudkan hubungan itu." 

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata PN tidak akan sesekali membentuk gabungan bersama Pakatan Harapan (PH) untuk menguasai Putrajaya.

Sejak Oktober lalu, PAS menghentikan kerjasama dengan Umno selepas presidennya, Ahmad Zahid Hamidi memberikan syarat supaya kerjasama parti Islam itu dengan PN dihentikan.

Sebelum ini, kedua-dua parti itu bekerjasama selepas pemeteraian Muafakat Nasional dan turut bersama-sama menganggotai kerajaan campuran di bawah Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun pada PRU15, PAS memutuskan untuk bersama PN selepas beberapa tindakan Umno yang tidak mengendahkan parti itu, terutamanya dengan membubarkan Parlimen sewaktu musim tengkujuh.