- Iklan -
Berita

PAS yakin PN akan bentuk kerajaan sendiri

Beliau menegaskan rakyat lebih yakin dengan PN dan perdana menteri daripada gabungan itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan Perikatan Nasional menggantung sepanduk gabungan itu di Keramat, Kuala Lumpur sempena kempen pilihan raya.
Sukarelawan Perikatan Nasional menggantung sepanduk gabungan itu di Keramat, Kuala Lumpur sempena kempen pilihan raya.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kenyataan beliau berhubung kerjasama membentuk kerajaan antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) diambil di luar konteks, dan laporan mengenainya mengelirukan pengundi.

Dalam sebuah kenyataan, Takiyuddin berkata beliau berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan perdana menteri adalah dari gabungan itu.

“Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, stabil dan bersih.

“Dengan kenyataan yang jelas ini maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU15.”

Terdahulu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan menyanggah Takiyuddin yang dilaporkan berkata PN akan bekerjasama dengan BN jika gagal memenangi kerusi mencukupi pada 19 November.

Muhyiddin berkata beliau tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN.

"Tujuan PN bertanding dalam PRU15 adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan (PH).

"Saya sebagai pengerusi PN tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU15," katanya.

Sebelum ini, Takiyuddin dilaporkan berkata PN sedia membentuk kerajaan persekutuan dengan BN jika gagal memenangi kerusi mencukupi pada 19 November.

“Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain termasuk BN," katanya seperti dilaporkan media.

“Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU15, mungkin selepas PRU kita boleh wujudkan hubungan itu." 

Sejak Oktober lalu, PAS menghentikan kerjasama dengan Umno selepas presidennya, Ahmad Zahid Hamidi memberikan syarat supaya kerjasama parti Islam itu dalam PN dihentikan.

Sebelum ini, kedua-dua parti itu bekerjasama selepas pemeteraian Muafakat Nasional dan turut bersama-sama menganggotai kerajaan campuran di bawah Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun pada PRU15, PAS memutuskan untuk bersama PN selepas beberapa tindakan Umno yang tidak mengendahkan parti itu, terutamanya dengan membubarkan Parlimen sewaktu musim tengkujuh.