- Iklan -
Berita

Najib, Arul bebas atau bela diri kes audit laporan 1MDB diputuskan 30 Januari

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pendakwaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kenderaan membawa Najib Razak sampai di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Kenderaan membawa Najib Razak sampai di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Keputusan sama ada bekas perdana menteri Najb Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB akan diketahui 30 Januari.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 7 September selepas mengemukakan 16 saksi termasuk bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, bekas ketua audit negara Ambrin Buang dan Madinah Mohamad, bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh dan bekas pengarah audit Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

Pasukan pendakwaan diketuai timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram manakala peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib dan N Sivananthan bagi pihak Arul.

Pada 24 Jun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya Arul memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan itu mengikut Seksyen 63(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Di bawah Seksyen 63(3) Akta SPRM, mana-mana saksi yang dikehendaki memberikan keterangan di bawah subseksyen 1, berhak menerima perakuan indemniti di bawah meterai mahkamah, dan perakuan tersebut hendaklah menjadi penghalang kepada semua prosiding undang-undang mengenai perkara tersebut.

Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.