- Iklan -
Berita

Muhyiddin ingatkan kejayaan urus pandemik ketika PN mulakan serangan menjelang hari pengundian

Bekas perdana menteri itu berkata beliau harus melaksanakan beberapa keputusan tegas di mana akhirnya terbukti berjaya.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin memberikan ceramah kempen di Kuala Lumpur malam tadi.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin memberikan ceramah kempen di Kuala Lumpur malam tadi.

Muhyiddin Yassin hari ini menaikkan semangat untuk melawan Anwar Ibrahim, mengatakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu mengintai jawatan perdana menteri tanpa pengalaman dalam mentadbir negara, terutama di saat paling mencabar pandemik Covid-19 seperti apa yang dihadapi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN Muhyiddin merupakan perdana menteri selama 17 bulan di mana beliau mengetuai Malaysia dalam usaha memerangi pandemik sebelum digulingkan oleh pemimpin Umno yang bersekutu dengan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak, mengatakan beliau mengambil beberapa langkah tegas yang akhirnya membantu Malaysia beralih ke fasa endemik.

Beliau berkata ini, langkah sukar itu termasuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP), di mana ia memaksa kerajaan mengeluarkan wang tunai lebih RM500 bilion dan dana kecemasan lain bagi membantu mengurangkan impak penutupan ekonomi dalam usaha membendung virus itu.

"Memang saya tak suka, saudara-saudari juga tidak suka (pelaksanaan PKP), tapi apa nak dibuat, kerana situasi agak mendesak, kalau tak ada PKP, saudara masih pergi ke sana-ke sini, kalau (pelaksanaan) itu tak berlaku, bermakna tak akan terkawal Covid. 

“Kerana itu, Anwar mengata saya ‘bapa PKP’, saya taknaklah mencarut di sini," kata Muhyiddin, dalam sebuah ucapan yang dilihat mengisyaratkan bahawa gabungannya mula berada di kedudukan menyerang terhadap Anwar yang tidak henti-henti menyasarkan serangan terhadap pemimpin PN sejak beberapa hari lalu.

“Tetapi pemimpin PH ini amat tidak bertanggungjawab. Betul tidak? Bukan nak ucap syukur atas nikmat Allah telah kurniakan. Dan dia balik isteri, anak, cucu semua sihat. Sewajarnya dia kata terima kasih atas apa 'yang anda sudah buat untuk keluarga saya dan negara'.

”Tapi tak apa, dalam dunia ini ada orang seperti itu," kata Muhyiddin di hadapan hadirin dalam sebuah ceramah kempen di Kuala Lumpur.

Menurut Muhyiddin, “alasan” PH kononnya mereka tidak cukup masa mentadbir negara selama 22 bulan untuk mendatangkan impak tidak munasabah memandangkan kerajaan pimpinan beliau hanya diberi peluang selama 17 bulan.

“Kita hendak kerajaan bukan sekadar dari segi keupayaan (mentadbir negara) tetapi juga perlu bersih. 

“Barisan Nasional (BN) tak bersih sebab ada kes rasuah, PH pula hanya bagi RM30,” tambah beliau.

Beliau turut berpesan kepada Anwar supaya tidak mendabik dada dan mendakwa memiliki sokongan besar.

Katanya, ini kerana masih terdapat lima hari sebelum hari pengundian dan sebarang kemungkinan boleh terjadi dalam tempoh masa itu.

Semalam, ketika ceramah kempen di Pasir Salak, Anwar mendakwa partinya sudah mendahului sokongan pengundi berbanding parti lain menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15.

Anwar mendakwa ia berdasarkan data dan kajian setempat.

“Saya pun boleh kata begitu, tetapi yang penting kita nak serah kepada pengundi membuat pertimbangan bijaksana.

“Saya sudah jelaskan panjang lebar apa kita tawarkan dan perjuangkan tetapi di sebelah sana (PH) tak sebut apa-apa pun, bagi dia tak penting.

“Bagi dia jawatan (penting), tetapi bagi saya perkhidmatan (lagi penting) dan apa yang kita nak tawarkan kepada negara supaya kembali dalam keadaan baik,” katanya.