- Iklan -
Berita

Ismail ikrar kurangkan bilangan menteri jika BN menang

Perdana menteri berkata tumpuan kini adalah untuk meraih kemenangan sebelum memikirkan soal Kabinet.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersama calon Kuala Selangor Tengku Zafrul Aziz dan Pengerusi BN Selangor Noh Omar. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersama calon Kuala Selangor Tengku Zafrul Aziz dan Pengerusi BN Selangor Noh Omar. Gambar: Bernama

Barisan Nasional (BN) perlu fokus untuk mencapai kemenangan pada PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum memikirkan mengenai barisan Kabinet yang baru, kata Ismail Sabri Yaakob.

Perdana menteri berkata bagaimanapun beliau akan memastikan saiz Kabinet yang akan dibentuk nanti adalah lebih kecil berbanding jumlah menteri sekarang dengan menggabungkan beberapa kementerian. 

“Jadi kita kena menang dulu, kalau tak menang saya pun tak jadi perdana menteri. BN mesti menang dahulu.. selepas menang BN, insya Allah saya akan ambil kira semua kepentingan, kena ada teknokrat, kena ada ahli politik.

"Cuma saya bagi jaminan bahawa yang saya akan kecilkan Kabinet saya kerana Kabinet sekarang terlalu besar... ini janji saya tetapi siapa yang menjadi menteri Kabinet akan saya tentukan,” katanya kepada media selepas Program Santai Anak Muda Kuala Selangor  di Puncak Alam, malam ini. 

Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang juga calon BN di Parlimen Kuala Selangor. 

Mengenai dakwaan Perikatan Nasional yang menyatakan bahawa BN meniru manifesto mereka mengenai pemberian taraf kerakyatan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia, Ismail berkata BN juga boleh mengatakan perkara yang sama kepada parti itu. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menaruh keyakinan kepada Zafrul untuk memenangi kerusi Parlimen Kuala Selangor pada pilihan raya ini. 

“Saya terkejut dengan sambutan (rakyat) begini hebat dan saya percaya apa yang digambarkan malam ini itulah yang akan menjadi undi kepada Zafrul nanti.

"Saya percaya yang datang ramai-ramai malam ini menunjukkan sokongan kepada Tengku Zafrul dan saya yakin beliau boleh memenangi kerusi di Kuala Selangor,” katanya. 

"Insya Allah jika Tengku Zafrul menang, dia akan berada di dalam Kabinet, Kuala Selangor bertuah kerana mempunyai calon yang hebat, saya harap kita sama-sama nobatkan Tengku Zafrul sebagai ahli Parlimen Kuala Selangor," katanya.