Apa nasib individu berpengaruh sebagai calon bebas?
Walaupun PRU15 menyaksikan lonjakan 4.5 kali ganda bilangan calon bebas, namun usaha mereka dalam merebut kerusi masih perlu diperhatikan.
Terkini
Peningkatan ketara jumlah calon bebas sebanyak 108 calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding 24 orang pada PRU14, bakal menyaksikan persaingan meraih sokongan antara mereka dan calon-calon daripada gabungan dan parti politik.
Walaupun calon bebas lazimnya dilihat sebagai “underdog” dalam perebutan undi, namun PRU15 kali ini menyaksikan penyertaan ramai calon terdiri daripada individu berpengaruh,dan personaliti terkenal.
Malah, penyertaan kali ini juga menarik perhatian ramai apabila individu seperti pempengaruh media sosial, Nur Fathiah Syazwana Shaharudi atau lebih dikenali sebagai Cleopatra serta peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kassim (Siti Kassim) yang akan bertanding di Parlimen Batu.
Selain itu, Abdul Rani Kulup Abdullah yang terkenal dengan aktiviti membuat laporan polis berhubung pelbagai isu juga akan bertanding di Parlimen Port Dickson menentang Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dari PKR serta seorang individu terkenal iaitu pengarah dan pelakon, Ahmad Idham Mohd Nazri yang mewakili Pejuang.
Disebabkan penyertaan individu berpengaruh ditambah dengan calon bebas lain serta calon daripada parti politik utama, sekurang-kurangnya 10 Parlimen akan menyaksikan pertembungan tujuh penjuru atau lebih dengan Parlimen Batu memperlihatkan saingan 10 penjuru.

Jika hanya menumpu kepada Parlimen Batu, Cleopatra dan Siti Kassim iaitu individu yang memang sudah dikenali ramai akan berdepan dengan individu seperti P Prabakaran yang merupakan penyandang kerusi Parlimen itu serta bekas naib presiden PKR Chua Tian Chang yang lebih dikenali sebagai Tian Chua.
Jadi ini mendorong kepada persoalan sama ada kecantikan fizikal Cleopatra ditambah dengan 210,000 "pengikut" Instagramnya atau kelantangan Siti Kassim cukup untuk menumbangkan individu yang sudah berpengalaman dalam dunia politik.
Ini kerana, sebelum ini ramai penganalisis menyatakan bahawa calon bebas sukar untuk meraih kemenangan disebabkan sikap majoriti pengundi yang membuat keputusan berdasarkan kepartian.
Oleh itu, ramai juga mempersoalkan mengapa individu berpengaruh tinggi seperti yang dinyatakan "tiba-tiba" menyertai arena politik dan ingin bertanding PRU15.
Penganalisis politik dari University of Tasmania, Australia James Chin, melihat fenomena ini sebagai satu peluang kepada golongan itu untuk meningkatkan profil media sosial dengan meraih publisiti "unik" yang hanya muncul lima tahun sekali.
Menurut Chin, hampir semua calon bebas kebiasaannya tidak mempunyai peluang untuk menang apabila bertanding melainkan mereka mendapat sokongan daripada parti politik utama.
Suasana ini dapat dilihat pada PRU14 apabila Prabakaran yang pada ketika itu menang kerusi Parlimen Batu apabila mendapat sokongan daripada PKR selepas Chua hilang kelayakan bertanding.

"Calon bebas yang sebenarnya tidak bebas ada peluang cerah untuk menang, tetapi yang betul-betul bebas kemungkinan besar hanya akan hilang deposit," katanya.
Sementara itu, Cleopatra bersifat optimis dengan peluangnya sebagai calon Bebas dan beranggapan setiap calon mempunyai pengaruh dan kelebihan tersendiri.
Katanya, keputusan untuk menyertai bidang politik bukan sekadar mahu cari publisiti, sebaliknya ia menjadi minatnya untuk sekian lama.
"Ramai mungkin tidak tahu bahawa saya berulang-alik ke Parlimen Batu setiap hari kerana saya mempunyai pejabat di sini.
"Justeru, sudah tentu saya tahu dan mempunyai idea apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan di kawasan ini," kata Cleopatra yang menjelaskan mengapa dia memilih untuk bertanding di Parlimen Batu.
Tambahnya, keputusan menyertai politik bukan saja diiringi dengan sokongan dan dorongan, tetapi turut menerima kecaman dan penghinaan.
Namun, dia menyatakan ini sebagai lumrah perjalanan seseorang yang ingin berkecimpung dalam bidang tersebut.
"Motivasi saya adalah untuk berkhidmat kepada pengundi dan melihat ke arah yang lebih baik demi masa depan generasi baru dan perjuangkan hak wanita.
"Tidak sukar untuk saya membuat keputusan dan saya sudahmelakukan banyak persiapan menjelang PRU15," katanya kepada MalaysiaNow.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
