- Iklan -
Berita

PAS tegaskan tiada keperluan calon isytihar harta

Bagaimanapun, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti tidak menghalang mana-mana calonnya untuk berbuat demikian.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Gambar: Bernama
Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Gambar: Bernama

PAS menegaskan bahawa tiada keperluan untuk calonnya melakukan pengisytiharan harta seperti yang dibuat oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata keputusan PAS untuk tidak mengisytiharkan harta bukan bermaksud parti itu tidak telus, tetapi pendekatan tersebut dilihat sia-sia serta tidak mempunyai keperluan yang mendesak.

Bagaimanapun beliau berkata PAS tidak mempunyai masalah atau halangan sekiranya ada calonnya yang mahu berbuat demikian mengikut pertimbangan serta kebijaksanaan masing-masing.

"Nak isytihar harta bukan dalam tempoh dua minggu ini. Masyarakat setempat lebih tahu calon kita di tempat masing-masing, jadi buat apa kita nak tunjuk-tunjuk dekat orang. Harta (calon dan pemimpin PAS) tak banyak, orang lain sebut juta-juta, kita ratus ribu tak sampai juta," katanya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hadi berkata isu kehadiran yang rendah ahli Parlimen PAS pada sesi persidangan Dewan Rakyat yang dimainkan parti lawan ketika ini, tidak akan menjejaskan sokongan pengundi terhadap Perikatan Nasional (PN).

Katanya kehadiran ahli Parlimen ke sesi Dewan Rakyat tidak boleh disamakan dengan kehadiran ke sekolah kerana berbeza daripada segi sistem dan perjalanannya.