- Iklan -
Berita

Rafizi terima surat tuntutan selepas tuduh pemimpin PAS salah guna kuasa

Peguam Tuan Ibrahim Tuan Man memberi tempoh seminggu untuk Rafizi Ramli memberi maklum balas terhadap tuntutan yang dikemukakan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan rakan sejawatnya dalam PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan rakan sejawatnya dalam PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil tindakan menghantar surat tuntutan terhadap Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli melalui peguamnya, berhubung kenyataan fitnah melibatkan sebuah kontrak bernilai RM2 bilion bagi kerja-kerja tebatan banjir.

Sebuah surat tuntutan yang disediakan peguamnya hari ini turut menafikan memberikan persetujuan terhadap sebarang projek sejak pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Beliau juga berkata beliau telah memastikan semua projek yang diluluskan kementeriannya adalah selaras dengan prosedur kewangan, dan beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang rundingan dengan mana- mana individu atau syarikat bagi tujuan mendapatkan sebarang tender dari Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa). 


Surat tuntutan yang dikeluarkan oleh peguamnya hari ini berkata Rafizi, pada 7 dan 9 November, membuat dua kenyataan pada sidang media di Petaling Jaya dengan mendakwa, antara lain, bahawa Tuan Ibrahim selaku menteri Kasa sedang dalam proses untuk meluluskan projek bernilai RM2 billion ringgit kepada satu syarikat bernama Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus untuk kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2, dan beliau didakwa turut terlibat dalam penganugerahan projek-projek di bawah Program Jana Wibawa secara rahsia. 


Peguam turut berkata Rafizi turut membayangkan bahawa Tuan Ibrahim menyalahgunakan jawatannya selaku menteri Kasa, tidak layak memegang jawatan itu, dan tidak ambil peduli tentang peraturan dan undang-undang sedia ada.


Surat itu turut berkata Rafizi juga membayangkan Tuan Ibrahim sebagai seorang seorang yang tidak amanah, korup, tidak menghormati undang-undang dan tidak bermoral.

Peguam turut mendakwa Rafizi menggunakan isu itu sebagai satu bahan kempen dan serangan politik bagi tujuan memburuk-burukkan parti PAS yang meletakkan calon di kerusi Parlimen yang sama supaya ia dapat memberi kelebihan kepada kempennya di Parlimen Pandan 

Mereka memberi tempoh tujuh hari untuk Rafizi membuat permohonan maaf secara terbuka dan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian, selain menuntut pemimpin PKR itu mencadangkan jumlah ganti rugi yang munasabah.

Jika gagal, pihak mereka akan mengambil langkah selanjutnya termasuk kemungkinan meneruskan tindakan undang-undang.