- Iklan -
Berita

Perjalanan panjang untuk KJ jadi PM, sukar menang Sungai Buloh

Penganalisis berkata kenyataan menyatakan hasrat menjadi perdana menteri oleh Khairy adalah tindakan bijak apabila menyedari dirinya sukar untuk menang kerusi Sungai Buloh.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Calon Barisan Nasional Khairy Jamaluddin bersama dua pemimpin Umno yang digugurkan daripada senarai calon, Annuar Musa dan Noh Omar.
Calon Barisan Nasional Khairy Jamaluddin bersama dua pemimpin Umno yang digugurkan daripada senarai calon, Annuar Musa dan Noh Omar.

Perjalanan masih panjang untuk Khairy Jamaluddin untuk menjadi presiden Umno dan perdana menteri, kata penganalisis politik dan menambah sukar baginya untuk merampas kerusi Parlimen Sungai Buloh daripada Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Mujibu Abd Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) walaupun Khairy merupakan pemimpin yang mempunyai ciri-ciri untuk menjadi perdana menteri, sejauh mana beliau boleh mendaki hierarki parti yang ketika ini masih dikuasai “warlords” kekal menjadi persoalan. 

"Kalau Khairy boleh mengatasi perkara ini dan berjaya memegang serta menyakinkan beberapa kelompok penting dalam Umno, mungkin boleh (diangkat jadi PM)," katanya kepada MalaysiaNow. 

Pada 2018, usaha Khairy untuk bertanding bagi jawatan presiden Umno menemui kegagalan apabila tewas kepada Ahmad Zahid Hamidi.

Tengku Razaleigh Hamzah merupakan salah seorang lagi calon.

Sementara pemerhati politik Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata Khairy diletakkan oleh Umno ke Parlimen Sungai Buloh yang berisiko memandangkan kawasan itu amat dikenali sebagai kubu kuat Pakatan Harapan (PH). 

Ditambah pula dengan demografi pengundi yang terdiri dengan penduduk bandar dan penyokong yang cenderung kepada parti pelbagai kaum, peluang Khairy dianggap amat tipis di Sungai Buloh. 

Menurut Mazlan, kenyataan dibuat oleh menteri kesihatan itu memberi pentanda seolah-olah beliau "pasrah" ditempatkan di Parlimen itu. 

"Nak menang tu payah. Dan saya perhatikan pemimpin Umno ini memang mahu menyekat Khairy Jamaluddin," katanya kepada MalaysiaNow. 

Namun, Mazlan menegaskan kenyataan yang dibuat Khairy pada ceramah kempen mengatakan berhasrat jadi perdana menteri mampu mencetuskan fenomena dan tarikan sokongan terhadap dirinya untuk memenangi kerusi Parlimen tersebut. 

"Maknanya Khairy ini budak bijak. Kenyataan dia itu boleh cetuskan gelombang. 

"Orang akan kata, apa salahnya beri peluang kepada Khairy kalau dia menang ini boleh jadi platform dia jadi presiden Umno yang akan datang." 

Sebelum ini, Khairy merupakan penyandang Parlimen Rembau, Negeri Sembilan. 

Semasa pengumuman calon PRU15, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) menamakan Khairy sebagai calon di Sungai Buloh bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bertanding di kerusi Rembau.

Bercakap di Taman Saujana Utama pada Selasa, Khairy menegaskan cita-cita dan hasratnya itu bergantung kepada kemenangan di Sungai Buloh.  

Apa jadi jika Khairy menang?

Khairy sering disebut-sebut sebagai "ancaman" kepada pimpinan utama Umno kerana selalu bercanggah dan lantang bersuara terhadap presiden parti. 

Ini termasuklah hal berkaitan kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin-pemimpin Umno dan isu dalaman parti tersebut. 

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah akan berlaku sekiranya Khairy berjaya membuktikan potensi dirinya dan memenangi Sungai Buloh pada 19 November ini, Mazlan berkata cita-cita menjadi perdana menteri berkemungkinan boleh dicapai dalam tempoh satu penggal sahaja lagi. 

Ini kerana, enam bulan selepas PRU15 diadakan Umno akan mengadakan pemilihan parti yang baru. 

Dari situ, kata Mazlan, Khairy sudah pasti akan menamakan dirinya bertanding sebagai calon presiden Umno yang baru dan turut kedudukan menyaingi Mohamad. 

"Khairy sekarang berumur 46 tahun, dalam tempoh satu penggal lagi dia akan memasuki umur 50 tahun. 

"Umur yang sangat ideal untuk jadi seorang perdana menteri," katanya. 

Mazlan pula berkata, terdapat juga kekurangan pada Khairy. 

"Dia berada dalam Umno iaitu parti yang berasaskan satu kaum. Bukan parti pelbagai kaum," katanya dan menambah faktor itu menyebabkan Khairy sukar mendapatkan sokongan golongan Melayu bandar dan bukan Melayu. 

Sementara Mujibu berkata lebih baik sekiranya Khairy berhijrah ke parti lain yang lebih terbuka untuk menerima dan bersungguh-sungguh mahu menaikkan kedudukannya dalam perjalanan politik tempatan. 

"Itu lebih sesuai sebab kalau nak tunggu Umno barangkali hendak mendaki hierarki itu agak susah bagi orang-orang yang progresif seperti Khairy. 

"Sebab Khairy ini progresif dan Umno pula konservatif. Itulah realitinya jadi susah sedikit (untuk Khairy capai cita-cita jadi PM)," katanya.