- Iklan -
Berita

Hanya calon PN tiada ‘kluster mahkamah’, kata Azmin kepada pengundi Kuala Langat

Menurut menteri Miti itu, calon daripada gabungan lawan tidak malu menamakan diri untuk bertanding pilihan raya ketika masih berdepan pertuduhan di mahkamah.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Calon Perikatan Nasional di Gombak, Mohamed Azmin Ali.
Calon Perikatan Nasional di Gombak, Mohamed Azmin Ali.

Perikatan Nasional (PN) kekal menjadi gabungan utama yang meletakkan calon yang bebas daripada kes mahkamah dan tuduhan rasuah, ketika blok politik lain masing-masing mempertaruhkan beberapa calon yang berdepan tuduhan di mahkamah, kata ketua penerangannya, Mohamed Azmin Ali.

Menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, meskipun semua gabungan menawarkan kerajaan yang stabil dan tidak rasuah, namun buktinya dapat dilihat dalam barisan calon yang dipertaruhkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini. 

"Mereka bicara soal bersih, mereka bicara soal reformasi, tapi lihat sahaja calon-calon daripada Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Ada yang sedang turun naik mahkamah, ada yang bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa tetapi mereka langsung tidak malu untuk kemukakan kertas penamaan calon," katanya dalam satu kempen di Kuala Langat, Selangor malam tadi.

Beliau merujuk kepada sekumpulan pimpinan Umno yang berdepan perbicaraan mahkamah, namun masih dicalonkan pada PRU15 kali ini.

Antaranya Ahmad Zahid Hamidi, pengerusi BN dan presiden Umno yang berdepan perbicaraan berkaitan wang milik Yayasan Akalbudi. 

Azmin yang juga penyandang kerusi Parlimen Gombak itu, berkata pemerhatian yang sama dapat dilihat dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang mendabik dada sebagai kerajaan reformasi. 

"Tetapi berapa banyak calon PH yang berdepan tuduhan rasuah di mahkamah, juga tidak ada rasa malu untuk kemukakan kertas penamaan calon," katanya. 

Pengerusi DAP Lim Guan Eng, yang mempertahankan kerusi Bagan sedang berdepan dengan perbicaraan mahkamah berhubung projek pembinaan terowong dasar laut.

Azmin berkata, ini berbeza dengan barisan calon PN yang tidak pernah didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa.

Justeru, menurut Azmin, perkara ini boleh dijadikan panduan kepada pengundi yang masih berada dalam dilema.   

PN bertanding di 169 kerusi Parlimen seluruh negara. 

Di Kelantan dan Terengganu, gabungan dipimpin Muhyiddin Yassin itu menggunakan tiket PAS.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.