- Iklan -
Berita

Rafizi terus ditekan selepas 'mungkir janji’ berhubung saham Invoke

Pemimpin Bersatu Dr Abdul Latiff Ahmad mempersoalkan tindakan Rafizi menjadikan taikun dan rakan parti sebagai pemegang saham, bertentangan dengan janjinya pada 2017.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bertemu orang ramai dalam tempoh kempen pilihan raya sebagai calon Pandan.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bertemu orang ramai dalam tempoh kempen pilihan raya sebagai calon Pandan.

Pemimpin PKR Rafizi Ramli terus berdepan dengan perbalahan terbuka berhubung isu syarikat Invoke Solutions selepas calon Parlimen Pandan itu mengakui kakitangan firma analisis data berkaitan parti itu tidak menerima agihan saham walaupun lima tahun lalu pernah berjanji akan memberi ganjaran atas kerja keras dan sumbangan mereka.

Semalam, menjawab persoalan yang dibangkitkan pengkritiknya berhubung tindakan memasukkan kira-kira RM17 juta saham Invoke sebagai aset peribadinya, Rafizi berkata kakitangan Invoke akan diberi ganjaran "pada masa akan datang", mengatakan ia dibuat sebaik sahaja syarikat itu disenaraikan di bursa saham.

"Bila Invoke disenaraikan, mereka semua ada saham, dan mereka boleh hidup selesa di masa muda. Syaratnya kena pandai, kena kreatif, kena usaha, kena berani dan kena jujur,” katanya.

Pemimpin Bersatu Dr Abdul Latiff Ahmad berkata Rafizi memungkiri janjinya untuk berkongsi kekayaan Invoke dengan kakitangan, sekali gus menolak janji terbaru timbalan presiden PKR itu.

"Jika beliau gagal tunai janji yang dibuat lima tahun lalu, kenapa harus sesiapa percaya kepada janji baru beliau?" katanya.

Pada 2017, Rafizi berkata beliau tidak mendapat sebarang hasil daripada pelaburannya dalam Invoke, mengatakan apa sahaja modal yang dimasukkannya akan ditukar menjadi saham untuk diagihkan kepada "kakitangan yang berkorban selama ini".

"Saya mahu mereka tahu bahawa Invoke adalah sebahagiannya milik mereka kerana mereka yang membinanya – maka mereka perlu ada saham di dalam Invoke," katanya.

Bagaimanapun, Latiff dalam kenyataannya hari ini mendesak Rafizi menjelaskan mengapa taikun perniagaan Lee Choo Boo menjadi pemegang saham Invoke kedua terbesar, diikuti rakan partinya Wong Chen.

Beliau berkata tindakan Rafizi tersebut sudah “membuka mata rakyat”.

“Jika inilah cara seorang pemimpin kanan Harapan melayan pekerjanya sendiri, apakah nasib warga kerja dibawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH)?

"Apakah kepentingan warga kerja Malaysia terjamin oleh Harapan atau kepentingan taikun-taikun perniagaan yang besar? Siapakah yang akan mendapat bahagianbesar kekayaan negara kelak, rakyat biasa atau taikun perniagaan?"
Rafizi menjadi tumpuan ramai berikutan pengisytiharan asetnya di mana beliau menyenaraikan RM16.7 juta saham daripada Invoke sebagai sebahagian daripada sejumlah RM19.67 juta aset yang dimilikinya.

Selain RM16.7 juta yang diisytiharkan sebagai "pelaburan", Rafizi turut menyenaraikan RM1.1 juta dalam akaun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beliau setakat 31 Oktober, dan RM1.6 juta bagi dua hartanah di bawah nama beliau termasuk rumah tiga tingkat di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Bekas pemimpin PKR Rashid Hasnon turut mempersoalkan  Rafizi, mengingatkannya Invoke ditubuhkan sebagai sebuah badan berkepentingan awam.

“Beliau mengaut keuntungan, dan keuntungan yang begitu lumayan,” kata Rashid, yang merupakan ahli exco Perikatan Nasional (PN) Johor.

"Rafizi juga turut menyatakan walaupun terdapat keuntungan, Invoke tidak boleh menggunakan keuntungan untuk peribadi termasuk kepada pemegang saham seperti beliau," kata Rashid.

“Rafizi tidak boleh menafikan perkara ini kerana maklumat tersebut boleh didapati melalui laman web beliau sendiri.”