- Iklan -
Kandungan Berjenama

Kumpulan majikan sambut baik rancangan PM untuk tubuh pusat kesihatan mental negara

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia berkata rakyat adalah 'aset utama’ negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika tiba di Parlimen bagi pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika tiba di Parlimen bagi pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mengalu-alukan rancangan perdana menteri yang mengumumkan akan menubuhkan pusat penjagaan kesihatan mental negara, mengatakan rancangan itu dan peningkatan peruntukan bajet untuk Kementerian Kesihatan (KKM) harus disokong oleh semua pihak berkepentingan.

Dalam satu kenyataan, Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman memetik angka laporan KKM pada 2015 yang menunjukkan bahawa satu dari tiga rakyat Malaysia - merangkumi kira-kira 29% populasi - mengalami masalah kesihatan mental.

“Jumlah itu kekal sehingga kini,” tambahnya.

Menyatakan terima kasih kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atas kesungguhan beliau menangani isu kesihatan mental dan menjadikannya sebagai keutamaan dalam agenda Keluarga Malaysia, Syed Hussain berkata langkah itu menunjukkan sisi keprihatinan Ismail dan kerajaan.

"MEF banyak kali membangkitkan isu kesihatan mental dan sememangnya gembira kerana perdana menteri memberi keutamaan isu kesejahteraan mental rakyat."

Beliau juga berkata penubuhan pusat seumpama itu akan membantu dalam mengurus dan menangani isu kesihatan mental yang dihadapi rakyat secara berkesan, khususnya bagi golongan pekerja.

Beliau turut berharap pusat sedemikian akan menjadi rujukan mengenai isu kesihatan mental bagi rantau ini serta Asia Pasifik.

Beliau turut mencadangkan agar golongan majikan bekerjasama dengan kerajaan untuk membentuk sebuah majlis dan menyusun perancangan bagi menangani isu kesihatan mental.

“Semua pihak berkepentingan harus bekerjasama untuk kesejahteraan rakyat. Apabila rakyat sihat, produktiviti meningkat dan majikan, pekerja dan rakyat akan gembira.

"Aset negara sebenarnya adalah rakyat," tambah Syed Hussain. 

"Kita mesti melakukan apa yang kita boleh untuk melindungi aset utama negara, iaitu rakyat."

Dalam peruntukan belanjawan tahun depan berjumlah RM372.3 bilion, peruntukan kepada KKM dinaikkan dari RM32.4 bilion kepada RM36.1 bilion.

“MEF mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri atas kesungguhan beliau menangani isu kesihatan mental yang dihadapi oleh rakyat dan meletakkan isu kesihatan mental sebagai keutamaan agenda Keluarga Malaysia.”