- Iklan -
Berita

Khairy nyatakan hasrat mahu jadi PM

Bagaimanapun, menteri kesihatan itu berkata ketika ini Ismail Sabri Yaakob dahulu akan menjadi perdana menteri jika BN menang PRU15.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berucap dalam ceramah kempen pilihan raya di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh malam tadi. Gambar: Facebook
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berucap dalam ceramah kempen pilihan raya di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh malam tadi. Gambar: Facebook

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam menyatakan hasrat untuk menerajui Umno suatu hari nanti dan menjadi perdana menteri, namun beliau berkata perlu membuktikan dirinya di Sungai Buloh terlebih dahulu.

Bercakap dalam ceramah kempen pilihan raya di Taman Saujana Utama, beliau berkata Sungai Buloh bukan tempat beliau berhenti dalam karier politiknya.

“Bagi saya, jika saya menang di sini – jika orang Sungai Buloh benarkan saya menang – Sungai Buloh bukan tempat saya berhenti,” katanya.

“Saya akan bawa orang Sungai Buloh sehingga satu hari nanti, kita memimpin negara, insya Allah.

"Dengan takdir Allah, dengan sokongan daripada rakan-rakan, satu hari nanti saya nak pimpin Umno, satu hari nanti saya nak jadi perdana menteri kamu untuk kita bangunkan negara ini.”

Khairy, yang merupakan penyandang Rembau, diletakkan sebagai calon BN di Sungai Buloh bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bertanding di kerusi itu.

Sebelum ini, beliau merupakan menteri sains, teknologi dan inovasi serta pernah memegang portfolio menteri belia dan sukan.

Bercakap malam tadi, beliau menambah bahawa cita-citanya bergantung kepada kemenangan di Sungai Buloh.

“Saya rasa sudah sampai masanya saya cakap perkara itu, tapi bukan sekarang lah, sekarang ini kita menang, kekanda saya Ismail Sabri Yaakob jadi perdana menteri Malaysia.

"Saya berumur 46 tahun, saya masih boleh menunggu. Saya sudah bersedia, tetapi saya mesti buktikan diri saya di Sungai Buloh dahulu."