- Iklan -
Berita

Tekanan berterusan supaya Rafizi jelaskan lonjakan RM12 juta aset Invoke

Pemimpin Bersatu Dr Abdul Latiff Ahmad berkata rakyat perlu tahu apa yang menyebabkan kenaikan mendadak nilai saham syarikat itu dalam tempoh kurang setahun.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sekali lagi digesa memberikan penjelasan lanjut hari ini berhubung pengisytiharan asetnya baru-baru ini yang menunjukkan peningkatan sebanyak RM17 juta dalam tempoh tujuh tahun, di mana persoalan dibangkitkan mengenai RM12 juta aset dalam syarikat berkait parti itu dalam masa tidak sampai setahun.

Pemimpin Bersatu Dr Abdul Latiff Ahmad membangkitkan persoalan nilai saham syarikat diterajui Rafizi Ramli, Invoke Solutions, mengatakan ia merekodkan kerugian dengan aset bersih -RM4.7 juta setakat akhir Disember tahun lalu.

“Manakala dalam deklarasi yang baru dikeluarkan oleh Rafizi sehingga pada 31 Oktober 2022, nilainya melonjak kepada RM17 juta.

"Demi ketelusan, yang sering disebut-sebut oleh Rafizi, rakyat berhak mengetahui apakah yang menyebabkan kenaikan nilai yang begitu mendadak?"

Latiff berkata Rafizi perlu menerbitkan kontrak atau sumber pendapatan Invoke untuk 2022.

Minggu lalu, pengisytiharan harta peribadi oleh pemimpin PKR itu menjelang pancalonannya di kerusi Parlimen Pandan telah mencetuskan persoalan apabila beliau memasukkan RM16.7 juta saham dari Invoke sebagai aset peribadinya.

Ini menyebabkan aset peribadinya melonjak kepada  RM19.67 juta, meningkat daripada hanya RM1.5 juta pada 2015.

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) Johor Rashid Hasnon turut mengingatkan Rafizi bahawa Invoke menerima sokongan orang ramai melalui pengumpulan dana awam.

“Rafizi tidak boleh menafikan perkara ini kerana maklumat tersebut boleh didapati melalui laman web beliau sendiri.

“Orang ramai yang menyokong Invoke kerana mereka dijamin oleh Rafizi bahawa Invoke wujud untuk memastikan pilihan raya yang adil. Mereka menyokong untuk satu tujuan yang murni, bukan untuk memperkayakan mana-mana individu,” katanya.

Taikun antara 14 pemegang syer syarikat

Latiff turut mengimbau kenyataan Rafizi pada 2017 bahawa saham Invoke akan diedarkan dalam kalangan kakitangannya.

Beliau berkata carian terhadap Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati terdapat hanya 14 pemegang syer di dalam Invoke termasuk taikun dan ahli Parlimen PKR.

"Rafizi memegang 73% ataupun ‘lion share’ daripada keseluruhan jumlah syer syarikat tersebut. Seterusnya pemegang syer terbesar yang kedua adalah taikun perniagaan yang besar bernama Lee Choo Boo dan yang ketiga terbesar ialah ahli Parlimen PKR Wong Chen.”

Latiff berkata pemegang saham lain termasuk Akmal Nasrullah dari PKR dan Onn Abu Bakar.

“Selain daripada itu juga sebuah syarikat kejuruteraan dan seorang warganegara asing bernama Hassan Mia Sonday,” katanya sambil menambah Lee ialah ketua pegawai eksekutif Itramas Corporation.

“Memandangkan pemegang-pemegang saham seperti di atas, di manakah janji yang dibuat pada tahun 2017 untuk mengagihkan saham-saham tersebut kepada kakitangan Invoke.

"Perlu diingati bahawa pada tahun 2017 juga, beliau menyatakan terdapat hampir 80 kakitangan Invoke. Adakah Rafizi tidak mahu lagi berkongsi kekayaan bernilai berjuta melalui saham Invoke dengan rakyat marhaen yang ‘berkorban’ untuk beliau menjayakan Invoke?"