- Iklan -
Berita

Shahidan, Ismail belum jadi ahli PAS, kata setiausaha agung

Takiyuddin Hassan berkata undang-undang pilihan raya tidak menetapkan calon yang bertanding, perlu menjadi ahli sesebuah parti.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama

Bekas ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Arau Shahidan Kassim dan Ismail Abdul Muttalib (Maran), belum menjadi ahli PAS biarpun bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata undang-undang pilihan raya tidak menetapkan calon yang bertanding, perlu menjadi ahli sesebuah parti.

“Kita telah mengizinkan kepada calon yang bukan ahli PAS seperti di Parlimen Arau (Shahidan) untuk bertanding. Kita juga mengeluarkan watikah untuk menggunakan logo PN di atas kuota PAS, begitu juga Parlimen Maran (Ismail) untuk bertanding atas tiket kita. 

“Setakat ini mereka belum menjadi ahli PAS dan undang-undang PRU tidak semestinya menjadi ahli. Dalam konteks ini, PAS membenarkan calon menggunakan logo PAS sebagai memenuhi syarat untuk diterima pencalonan,” katanya pada sidang media PN Kelantan hari ini.

Takiyuddin yang juga calon Parlimen Kota Bharu berkata keahlian penyandang kerusi Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali dan penyandang kerusi Parlimen Tumpat Che Abdullah Mat Nawi, gugur secara automatik kerana bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Beliau berkata perkara tersebut termaktub dalam Fasal 15 (1c) Perlembagaan PAS iaitu mengisytiharkan diri keluar PAS atau menyertai parti lain. 

“Jadi mana-mana ahli PAS yang melakukan tindakan sedemikian telah dianggap telah terhenti menjadi ahli PAS dan tidak perlu dipecat lagi. Kita hanya perlu memaklumkan kepadanya sahaja,” katanya.