Penyandang Maran digugur sebagai calon BN kini sertai PAS
Ismail Abd Muttalib yang diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional berkata beliau menyerahkan kepada Umno untuk memutuskan status keahliannya.
Terkini
Penyandang kerusi Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib hari ini mengesahkan bahawa beliau kini bersama PAS, sehari selepas diumum akan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau bagaimanapun mengakui tidak akan menghantar surat rasmi untuk keluar parti kepada Umno sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan untuk membuat keputusan berhubung status keahliannya.
“Saya tidak akan hantar surat… kalau kita sudah masuk (bersama parti lain), maksudnya kita sudah keluar (Umno)… saya tawarkan diri untuk ini (jadi calon PN) dan esok, kita bersama (PN) untuk penamaan calon,” katanya pada sidang media selepas program Karnival Memperkasa Komuniti Keluarga Malaysia Daerah Maran di Arena Tengku Muda Pahang di sini malam ini.
Ditanya sama ada beliau bersedia disunting PAS untuk menjadi ahli parti itu, Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata: “Saya berpihak dan sudah bersama PAS.”
Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa Ismail akan bertanding atas tiket PN bagi mempertahan kerusi Parlimen Maran yang disandang beliau sejak 2004 atas tiket Barisan Nasional (BN).
Pengumuman itu dibuat tiga hari selepas Ismail sah digugurkan daripada senarai calon BN dan digantikan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Shahaniza Shamsuddin.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.