- Iklan -
Berita

Rafizi dipersoal selepas senaraikan saham RM16.7 juta dalam Invoke sebagai miliknya

Perkara itu dibangkitkan selepas timbalan presiden PKR tersebut menyenaraikan asetnya yang menunjukkan peningkatan lebih RM17 juta berbanding 2015.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berucap di konvensyen pilihan raya PKR di Shah Alam Ogos lalu. Gambar: Bernama
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berucap di konvensyen pilihan raya PKR di Shah Alam Ogos lalu. Gambar: Bernama

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) membangkitkan persoalan mengenai timbalan presiden PKR selepas pengisytiharan hartanya menunjukkan peningkatan jumlah aset sebanyak RM17 juta berbanding milikan hartanya tujuh tahun lalu.

Rashid Hasnon, yang merupakan exco PN Johor turut mempersoalkan saham sebanyak RM16.7 juta dalam Invoke Solutions diterajuinya, mengatakan pemimpin PKR itu sendiri menyatakan syarikat tersebut ditubuhkan kononnya untuk kepentingan awam.

“Invoke telah merayu dan menerima sokongan orang ramai melalui beberapa cara kutipan dana. 

“Rafizi tidak boleh menafikan perkara ini kerana maklumat tersebut boleh didapati melalui laman web beliau sendiri.

“Orang ramai yang menyokong Invoke kerana mereka dijamin oleh Rafizi bahawa Invoke wujud untuk memastikan pilihan raya yang adil. Mereka menyokong untuk satu tujuan yang murni, bukan untuk memperkayakan mana-mana individu,” katanya.

Awal minggu ini, Rafizi memasukkan saham RM16.7 juta itu sebagai sebahagian daripada sejumlah RM19.67 juta aset yang dimilikinya.

Selain itu, RM16.7 juta yang diisytiharkan beliau sebagai “pelaburan”, Rafizi turut menyenaraikan RM1.1 juta dalam akaun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beliau setakat 31 Oktober, dan RM1.6 juta bagi dua hartanah di bawah nama beliau termasuk rumah tiga tingkat di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Beliau juga memperincikan komitmen bulanannya, termasuk pembayaran bank dan perbelanjaan peribadinya, termasuk kos internet dan utiliti sebanyak RM800, di mana jumlahnya sama dengan apa yang pernah dibayar ketika beliau tinggal di kondominium pada 2015.

Invoke yang ditubuhkan ‘bukan untuk keuntungan’

Rashid berkata walaupun Rafizi tidak menjual atau melupuskan saham tersebut dalam masa terdekat, namun hakikatnya, ia adalah aset “bernilai jutaan ringgit“ yang kini dimiliki olehnya.

“Sumber kekayaan ini adalah inisiatif berciri kepentingan awam iaitu Invoke.

“Beliau telah mengaut keuntungan, dan keuntungan yang begitu lumayan.”

Rashid turut merujuk kenyataan Rafizi pada 28 September 2017 yang mengatakan Invoke merupakan “satu pertubuhan yang tidak berasaskan keuntungan.”

“Rafizi juga turut menyatakan walaupun terdapat keuntungan, Invoke tidak boleh menggunakan keuntungan untuk peribadi termasuk kepada pemegang saham seperti beliau.”

“Malah, lebih penting adalah, Rafizi tidak menyatakan dimana-mana bahawa saham tersebut dipegang beliau sebagai amanah bagi tujuan untuk perbelanjaan program untuk awam, atau inisiatif-inisiatif lain yang membantu orang ramai. 

“Ianya hanya diisytiharkan sebagai hartanya sendiri, milikan beliau dan sebagai sebahagian harta peribadi beliau. Beliau juga tidak menyatakan bahawa beliau adalah pemilik nominal. Rafizi adalah pemilik berfaedah yang mutlak.”