- Iklan -
Berita

Shahidan akan pertahan Arau bawah PN

Langkah PN mencalonkan Shahidan Kassim di kerusi itu dilihat bakal menjejaskan penguasaan BN di Perlis.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Penyandang kerusi Arau Shahidan Kassim bercakap kepada pemberita selepas digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional pada 1 November lalu. Gambar: Bernama
Penyandang kerusi Arau Shahidan Kassim bercakap kepada pemberita selepas digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional pada 1 November lalu. Gambar: Bernama

Pemimpin Umno Perlis Shahidan Kassim akan dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan kerusi Arau, di mana langkah tersebut dilihat bakal menjejaskan kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) itu sekali gus mengancam penguasaannya di utara negara.

Utusan Malaysia melaporkan pencalonan Shahidan akan diumumkan secara rasmi malam ini dalam acara pengumuman calon PN di negeri itu.

Shahidan yang merupakan pengkritik lantang terhadap kepimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, turut mengesahkan pencalonannya selepas dua hari lalu digugurkan daripada senarai calon BN.

Beliau berkata kerusi itu akan bertukar kepada kerusi PN pada 19 November depan.

"Insya Allah selain Parlimen Arau, empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tangan dan satu lagi DUN tunggu," katanya kepada Utusan Malaysia.

Shahidan merupakan antara pimpinan Umno yang membantah langkah Zahid untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu, di mana kerajaan campuran tertubuh selepas kerjasama antara Umno, PAS dan GPS selepas kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan di Putrajaya pada 2020.

Shahidan turut menyelar Zahid kerana bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam percubannya untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Terdahulu, PN tidak mengumumkan calonnya di Arau di mana ia mencetuskan spekulasi bahawa kerusi itu akan diperuntukkan kepada Shahidan.

Tidak seperti kebanyakan negeri, Perlis akan mengadakan pilihan raya peringkat persekutuan dan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijadualkan 19 November ini.

Perlis juga merupakan salah satu negeri yang kekal dipertahankan oleh BN pada pilihan raya umum 2018 ketika gabungan itu tumbang di Putrajaya.