- Iklan -
Berita

PN alu-alukan calon mampu menang, kata Hadi berhubung kerusi Arau

Hadi yakin PN mampu menang PRU15 walaupun berdepan cabaran yang sukar daripada pihak lawan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersama Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam acara pengumuman calon PN malam tadi. Gambar: Bernama
Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersama Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam acara pengumuman calon PN malam tadi. Gambar: Bernama

Perikatan Nasional (PN) mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyokong dan menyertai gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusi PN Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga presiden PAS berkata memandangkan politik di negara ini bersifat dinamik, maka PN terbuka menerima bakal calon yang dijangka mampu memenangi kerusi serta dapat merealisasikan tema gabungan itu iaitu "Bersih dan Stabil".

“Ia (pengumuman bakal calon) boleh berubah sepanjang masa, jadi percaturan (terakhir) adalah pada hari penamaan calon,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Calon Parlimen PRU15 PN Kedah di Kompleks PAS Kedah malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media bahawa PN belum menamakan bakal calonnya di Parlimen Arau dilihat bagi memberi laluan kepada penyandang kerusi itu Datuk Seri Shahidan Kassim dari Barisan Nasional (BN) untuk mewakili gabungan PN pada PRU15.

Semalam, Pengerusi PN Perlis Mohd Syukri Ramli dilaporkan berkata beliau telah memaklumkan kepada pucuk pimpinan PAS dan PN pusat mengenai hasrat Shahidan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Ditanya mengenai keyakinan bagi menghadapi PRU15, Hadi, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Marang, berkata: “Keyakinan kita (PN) tinggi, kemenangan tidak mustahil namun tidak mudah dan sangat mencabar.”

PN mengumumkan akan bertanding di 169 kerusi Parlimen melibatkan Bersatu sebanyak 74 kerusi, PAS (64 kerusi), Gerakan (20 kerusi) dan Bersekutu (11 kerusi).

Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, PN akan bertanding di 116 kerusi di Pahang, Perak serta Perlis melibatkan PAS sebanyak 57 kerusi, Gerakan (14 kerusi), Bersatu (41 kerusi) dan Bersekutu (empat kerusi).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.