- Iklan -
Berita

SPR tentukan PRU diteruskan atau tidak jika banjir ketika hari mengundi, kata Nadma

Agensi Pengurusan Bencana Negara berkata pihaknya tetap membuat persiapan hadapi banjir monsun walaupun pilihan raya tidak diadakan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya meredah hujan membawa peti undi sambil diiringi polis pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Disember tahun lalu.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya meredah hujan membawa peti undi sambil diiringi polis pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Disember tahun lalu.

Penentuan sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diteruskan atau tidak sekiranya berlaku banjir besar semasa hari mengundi tertakluk kepada kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) Nadma , Khairul Shahril Idrus, berkata walaupun negara kini sedang sibuk dengan persiapan PRU15, perkara itu tidak menjejaskan kesediaan agensi itu menghadapi situasi banjir akibat daripada monsun timur laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan November depan.

Bercakap dalam temubual eksklusif bersama MalaysiaNow, beliau berkata, musim MTL kali dijangka akan menyaksikan taburan hujan hampir sama seperti tahun lalu, namun ia tidak menjamin sama ada kejadian banjir besar akan berulang seperti tahun lalu.

Pada akhir 2021, negara dikejutkan dengan banjir besar yang melanda di beberapa negeri hingga meragut hampir 50 nyawa selain menyebabkan kerugian melibatkan jutaan ringgit.

Beberapa kawasan di Selangor seperti Taman Sri Muda di Shah Alam dan Hulu Langat dilaporkan tenggelam apabila paras air meningkat sehingga melepasi bumbung rumah penduduk menyebabkan kebanyakan penduduk trauma sehingga ke hari ini.

Mengulas mengenai insiden yang menimpa pada tahun lalu, Khairul berkata, kejadian itu sebenarnya disifatkan sebagai satu perkara di luar jangkaan.

"Walaupun dari segi jumlah taburan hujan sama, tetapi dari segi intensiti hujan itu adalah berbeza," kata Khairul yang kini menjalankan tanggungjawab sebagai ketua pengarah Nadma.

"Contohnya di Taman Sri Muda, taburan hujan adalah sama tetapi berlaku dua atau tiga hari secara berterusan berbanding dengan taburan hujan sama tetapi dalam tempoh 30 hari di tempat lain."

Ulasnya, bagi pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ramalan yang lagi tepat boleh dikeluarkan dalam tempoh tujuh atau tiga hari sebelum berlakunya situasi itu.

Menyentuh mengenai persiapan menghadapi MTL tahun ini, Khairul berkata, mesyuarat di peringkat jawatankuasa pusat telah dilaksanakan dan arahan dikeluarkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, mesyuarat di peringkat negeri dan daerah juga sudah dilaksanakan.

"Sama ada berlaku pilihan raya pada musim MTL atau tidak, kami tetap buat persiapan.

"Ini termasuk persiapan dari segi bantuan makanan, memindahkan mangsa ke pusat pemindahan dan juga bantuan-bantuan yang berkaitan," katanya.

Dari aspek peranan Nadma, Khairul menjelaskan, tanggungjawab agensi itu adalah berdasarkan arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, Nadma berfungsi sebagai agensi tumpuan dari segi pengurusan bencana dalam memastikan dasar dan strategi dilaksanakan sebaiknya.

"Berdasarkan kepada pengalaman tahun lalu, ada beberapa penambahbaikan yang kita buat.

"Tetapi sebelum, dari segi persediaan agensi dan aset untuk berdepan situasi tersebut amat bergantung kepada ramalan yang dibuat MetMalaysia," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ramalan itu penting bagi memastikan semua kawasan menerima perhatian yang sama dan memudahkan pasukan penyelamat mengambil yang lebih cepat.

"Kita tidak boleh hantar semua aset ke serata negara disebabkan jumlah aset yang terhad.

"Sebab itu pentingnya perlu ada analisia risiko yang dibuat berdasarkan kepada apa yang telah diramalkan secara saintifik oleh MetMalaysia," tambah Khairul.