- Iklan -
Berita

Pemerkasaan Sabah, Sarawak antara 10 keutamaan PH

Antara keutamaan lain termasuk pertumbuhan ekonomi dan memulihkan keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berucap pada sidang media di Klang hari ini. Gambar: Bernama
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berucap pada sidang media di Klang hari ini. Gambar: Bernama

Pakatan Harapan (PH) menggariskan 10 keutamaan untuk direalisasikan segera, antaranya melibatkan kos sara hidup, memerangi rasuah dan memperkasa wilayah Sabah dan Sarawak, sekiranya mendapat mandat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata keutamaan itu bermatlamat menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh menerusi pertumbuhan ekonomi, memulihkan keyakinan umum menerusi pentadbiran beramanah dan menyediakan negara untuk berdepan pelbagai cabaran masa depan.

"Tempoh untuk melaksanakan 10 keutamaan adalah secara berperingkat dan bergantung kepada keupayaan kewangan negara, tawaran kali ini telah dibahaskan dengan teliti dan dikaji dari segi implikasi kewangan sepenuhnya dan mengambil kira tuntutan daripada rakyat dan bukan bersifat populis," katanya dalam sidang media selepas melancarkan 10 Tawaran Utama PRU-15 PH hari ini.

Turut hadir Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Wilfred Madius Tangau.

Tawaran berkenaan turut melibatkan pemerkasaan peluang ekonomi belia; menyelamatkan generasi tercicir dalam pendidikan; membina ketahanan bencana dan memantapkan perlindungan; menangani isu doktor kontrak dan menjamin kebajikan penjawat kesihatan; menghapuskan isu ketaksamaan gender dan memperkasa sosioekonomi wanita; meningkatkan daya saing rakyat dan memelihara khazanah alam.

Dalam pada itu, Anwar yang juga presiden PKR menyeru pengundi memberikan kemenangan selesa kepada PH untuk membentuk kerajaan iaitu tanpa memerlukan kerjasama parti di luar gabungan tersebut.

Katanya, ini supaya tawaran PH itu dapat dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang halangan.  

Ditanya sama ada tawaran berkenaan mampu dilaksanakan dan tidak berakhir seperti manifesto PH pada PRU yang lepas, Anwar menjawab, “kali ini pengerusi dia Anwar”.

"Saya menyeru agar pengundi atas pagar memberi kami mandat supaya kami bebas untuk melaksanakan keutamaan ini dan tidak berdepan sebarang halangan selepas pilihan raya,” katanya.