- Iklan -
Berita

MIC putuskan tetap bertanding PRU15

Presiden MIC S Vigneswaran berkata pihaknya menerima keputusan Barisan Nasional untuk memberikan kerusi kepada 'Friends of BN'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden MIC SA Vigneswaran bercakap kepada pemberita di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Presiden MIC SA Vigneswaran bercakap kepada pemberita di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

MIC hari ini memutuskan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November depan, menamatkan spekulasi mengenai penyertaannya dalam pilihan raya berikutan dakwaan ia kecewa berhubung peruntukan kerusi calon Barisan Nasional (BN).

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar MIC di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini, Vigneswaran menjelaskan mesyuarat itu diadakan bukan untuk membincangkan isu boikot PRU15, sebaliknya bagi memastikan ahli MIC faham hala tuju dan menerima sebarang keputusan berkaitan PRU15.

“Saya ingin memaklumkan, pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengenai calon-calon MIC adalah keputusan yang adil. Diharap nama (yang dicalonkan) menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka untuk kejayaan keluarga BN,” katanya.

Zahid ketika pengumuman calon BN malam tadi berkata MIC akan bertanding di 10 kerusi Parlimen.

MIC akan diwakili oleh Vigneswaran di Parlimen Sungai Siput, M Saravanan (Tapah), T Mohan (Hulu Selangor), T Murugiah (Teluk Intan), C Sivarraajh (Padang Serai), A Kohilan Pillay (Batu), Mohana Muniandy (Kuala Langat), P Kamalanathan (Port Dickson), D Kajendran (Kota Raja) dan M Ramasamy (Segamat). 

Mengulas mengenai kemelut kerusi Parlimen Batu yang heboh diperkatakan ketika ini, Vigneswaran berkata parti itu tetap akan mempertaruhkan Kohilan biarpun MCA dilaporkan akan meletakkan Yew Teong Look di kerusi berkenaan.

Apabila disoal lanjut mengenai perkara itu, Vigneswaran seolah-olah tidak tahu-menahu mengenai sebarang pertukaran calon terbaharu, seperti yang diumumkan Presiden MCA Wee Ka Siong pagi tadi.

“Pengumuman telah dibuat oleh Pengerusi BN semalam dan (saya anggap) ia merupakan keputusan muktamad. Kami akan bertanding di Batu. Saya juga sentiasa berhubung dengan Ahmad Zahid malah pagi tadi pun kita ada bercakap, namun tiada pemakluman mengenai pertukaran calon antara MIC dan MCA.

“Beliau tidak menyebut apa-apa mengenai pertukaran calon Batu, saya rasa Zahid adalah orang terbaik menjawabnya (mengenai penukaran calon),” katanya.

Pada PRU14 lepas, kerusi Parlimen Batu dimenangi calon bebas yang disokong PKR, P Prabakaran dengan majoriti 24,438 undi. 

Sementara itu, Vigneswaran berkata MIC secara sebulat suara bersetuju dengan keputusan BN untuk memberikan empat kerusi kepada parti di bawah "Friends of BN" iaitu Parti Makkal Sakti (MMSP), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti Cinta Malaysia (PCM) dan akan memastikan kejayaan calon-calon itu.

 Presiden Parti Makkal Sakti R. Thanenthiran diumumkan sebagai calon di Nibong Tebal, Presiden IPF T Loganathan akan bertanding di Jelutong, manakala Presiden Kimma Syed Ibrahim Kader di Parlimen Puchong dan Razalif Mohamad Zain dari PCM di Parlimen Bukit Bendera.

Presiden parti SA Vigneswaran, yang tidak hadir ketika acara pengumuman calon BN malam tadi, berkata MIC menerima keputusan gabungan itu untuk memperuntukkan kerusi kepada calon yang dikategorikan sebagai “Friends of BN”.

Beliau juga berkata Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi adalah orang yang paling layak menjawab isu pertindihan kerusi MIC dan MCA di Parlimen Batu.