- Iklan -
Berita

Kes demam denggi menurun 9.5% minggu lalu

Empat kematian akibat demam denggi turut dilaporkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan menyembur pembasmi nyamuk Aedes di sekitar flat PPR Pudu Ulu di Kuala Lumpur.
Sukarelawan menyembur pembasmi nyamuk Aedes di sekitar flat PPR Pudu Ulu di Kuala Lumpur.

Jumlah kes demam denggi pada minggu epidemiologi (ME) ke-43 Tahun 2022 (ME-43/22) menurun 154 kes atau 9.5% kepada 1,460 kes berbanding 1,614 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata empat kematian akibat komplikasi demam denggi turut dilaporkan pada ME 43/22.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 49,569 kes berbanding 21,707 kes bagi tempoh sama pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 27,862 kes (128.4%)”, katanya.

Dr Noor Hisham berkata 33 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 16 kematian bagi tempoh yang sama pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 13 kematian atau 81.3%.

Mengenai lokaliti hotspot, beliau berkata terdapat peningkatan lima lokaliti kepada 56 lokaliti berbanding 51 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Menurut Dr Noor Hisham, dari jumlah lokaliti itu, 35 berada di Selangor, Sabah (15), Kuala Lumpur dan Putrajaya (empat) dan masing-masing satu lokaliti hotspot di Negeri Sembilan serta Melaka.

“Memusnahkan tempat potensi pembiakan nyamuk Aedes melalui aktiviti cari dan musnah adalah langkah terbaik untuk memastikan rantaian jangkitan demam denggi dapat diputuskan,” katanya menambah setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab memastikan kawasan persekitaran kediaman adalah bebas daripada bekas berpotensi untuk pembiakan nyamuk Aedes.

Mengenai chikungunya, Dr Noor Hisham berkata survelan merekodkan satu kes pada minggu ME 43/22 di Selangor.

“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 670 kes,” katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat negara ini untuk meningkatkan tahap waspada bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes serta demam denggi, chikungunya dan zika.